BERLIN, 12 JAN – Pengangkutan haiwan telah diharamkan di negeri sekitar Berlin kelmarin dan kedua-dua zoo di ibu negara ditutup sebagai langkah berjaga-jaga selepas penyakit kaki dan mulut dikesan dalam sekawan kerbau air di luar bandar, iaitu wabak pertama di Jerman dalam lebih 35 tahun.
Pihak berkuasa di negeri Brandenburg, yang mengelilingi Berlin, berkata pada Jumaat bahawa seorang petani menemui tiga daripada sekumpulan 14 ekor kerbau air mati di Hoenow, di luar had bandar. Institut Kesihatan Haiwan Nasional Jerman mengesahkan bahawa penyakit kaki dan mulut telah dikesan dalam sampel daripada salah seekor haiwan dan seluruh sekawan itu disembelih. Tidak jelas bagaimana haiwan-haiwan tersebut dijangkiti.
Larangan selama 72 jam terhadap pe-ngangkutan lembu, babi, kambing biri-biri, kambing dan haiwan lain seperti unta dan llama di Brandenburg mula berkuat kuasa kelmarin.
Kedua-dua zoo di Berlin ditutup mulai kelmarin sebagai langkah pencegahan. Pihak pengurusan zoo menyatakan dalam satu kenyataan bahawa walaupun virus ini tidak berbahaya kepada manusia, ia boleh melekat pada pakaian mereka dan ditularkan.
Pihak berkuasa berkata sekitar 200 ekor khinzir di sebuah ladang di Ahrensfelde, berhampiran tempat wabak dikesan akan disembelih sebagai langkah berjaga-jaga.
Penyakit kaki dan mulut disebabkan oleh virus yang menjangkiti lembu, kambing biri-biri, kambing, khinzir dan haiwan bertapak belah lain. Walaupun kadar kematian biasanya rendah, penyakit ini boleh membuat haiwan berpenyakit dengan demam, kurang selera makan, air liur berlebihan, lepuh dan gejala lain.
Virus ini mudah merebak melalui sentuhan dan penularan udara dan boleh menjangkiti seluruh kawanan dengan cepat. Manusia boleh menyebarkan penyakit ini melalui peralatan pertanian, kasut, pakaian, dan tayar kenderaan yang telah bersentuhan dengan virus tersebut. – AFP