TOKYO, 30 OKT – Penganjur Sukan Olimpik Tokyo menawarkan pengembalian wang untuk tiket yang dibeli di Jepun hari ini dan menjanjikan penggantian lebih banyak sekiranya acara dibatalkan atau menyediakan sedikit tempat duduk akibat COVID-19 pada temasya yang ditangguhkan, tahun depan.
Pengumuman itu dibuat setelah presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach memberi amaran bahawa stadium penuh ‘tidak mungkin terjadi’ di temasya sukan itu, yang dijadualkan bermula bulan Julai 2021.
Peminat yang membeli tiket boleh memohon bayaran balik dari 10 hingga 30 November, atau 1 hingga 21 Disember untuk Sukan Paralimpik, kata jawatankuasa penganjur Tokyo.
Mereka yang membeli tiket di tempat lain di dunia harus meminta bayaran balik dari peruncit mereka, tambahnya.
Tetapi peminat yang membeli tiket di Jepun juga dapat menyimpannya dan tetap layak mendapat pengembalian wang sekiranya jumlah orang ramai dihadkan.
Keputusan bersejarah untuk menangguhkan temasya sukan itu diadakan pada bulan Mac.
“Sekiranya kami tidak dapat memberikan kesempatan untuk menyaksikan pertandingan kerana COVID-19, kami akan menawarkan peluang tambahan untuk mengajukan permohonan pengembalian wang,” kata komunitu sukan itu dalam satu kenyataan.
Pegawai Olimpik telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak mahu mengadakan acara di stadium tertutup, tetapi juga tindakan pencegahan virus mungkin menyukarkan kehadiran orang ramai pada temasya sukan itu.
Sejumlah 4.48 juta tiket telah terjual untuk Olimpik setakat ini, dan hampir satu juta tiket Sukan Paralimpik, menurut jawatankuasa penganjur. – AFP
