Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penganjur tergamak tawar bayaran rendah untuk Caliph Buskers

    Sedekad bergelar anak seni, Caliph Buskers masih berdepan masalah bayaran apabila ada penganjur masih menawarkan harga rendah yang tidak setimpal.

    Melihat perkara itu tidak sepatutnya berlaku, Caliph Busker menjelaskan harga ditetapkan mereka juga adalah wajar bagi memenuhi keperluan persembahan selain dibahagikan bersama tiga anggotanya, menurut laporan mStar.

    “Satu dekad melalui jalan ini, kami tak pernah letak harga melampaui keperluan. Ada kalkulatornya termasuk untuk pengangkutan, tenaga kerja, latihan dan juga segala kos yang perlu.

    “Setelah selesai dan dibahagi sesama kami, sama sekali tidak menjadikan kami mampu hidup bermewah. Cukup saja untuk kelangsungan hidup,” katanya.

    Perkara tersebut dikongsi laman Instagram rasmi milik kumpulan berkenaan kelmarin.

    Menerusi hantaran sama, Caliph Buskers turut memuat naik mesej beberapa pihak memberi tawaran harga tidak masuk akal termasuk serendah RM500. Malah ada menawarkan bayaran tidak sampai RM1,000 bagi persembahan di luar Kuala Lumpur.

    Kumpulan ini dianggotai oleh Azmi Saat selaku vokal, Nirwan (gitar) dan Zaki (bes).

    Dalam nada kecewa, Caliph Buskers juga menganggap bayaran yang diterima jauh berbeza berbanding artis baharu.

    Bukan minta dilayan seperti VIP tetapi mereka hanya berharap agar bakat dan seni diketengahkan dihargai dengan adil.

    “Namun ada juga melabelkan harga kami tinggi. Mungkin mereka tak tahu, apa kami terima selalunya masih di bawah bayaran diberi kepada mereka yang baru menapak dalam industri, yang masih mencari rentak. Meski belum satu pun anugerah pengiktirafan di tangan mereka.

    “Kami bukan minta bulan dan bintang mahupun layanan kelas VIP. Tetapi cukuplah kalau seni kami dihargai sewajarnya. Kerana dari situlah, kami menafkahi diri dan tanggungan,” cerita mereka.

    Dalam pada itu, mereka berharap pihak penganjur lebih peka selain menghargai bakat serta usaha mereka untuk terus memperjuangkan bakat dalam industri seni.

    “Apa kami harapkan hanyalah sebuah penghargaan yang jujur dan adil terhadap usaha dan seni yang dibawa kerana di sebalik perjalanan kami, ada perjalanan tidak ramai sanggup tempuh,” jelas kumpulan itu. – Agensi

    Nirwan (kiri), Azmi dan Zaki dari Caliph Buskers terus perjuangkan bakat seni. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda