Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penganjuran klinik futsal diteruskan

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Setelah kejayaan beberapa siri klinik futsal sebelum ini, Puspa United Academy sekali lagi akan mengadakan acara yang serupa berikutan dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada ibu bapa dan peminat sukan futsal di negara ini terutama sekali bagi pemain bawah 12 yang telah mengikuti siri yang lalu.

    Perkara itu ditegaskan oleh Jurulatih Bola Sepak Akar Umbi FIFA dan Jurulatih Futsal AFC, Haji Puspa bin Haji Mohammad yang ditemui baru-baru ini mengenai klinik bola sepak yang bakal diadakan esok di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Menurutnya lagi program ini sangat bersesuaian bagi peminat bola sepak di kalangan akar umbi bagi pengisian percutian yang positif dan menjadi salah satu daripada perancangan jangka masa panjang akademi berkenaan untuk memperluaskan lagi sukan futsal di negara ini.

    Selain itu, ia juga bertujuan bagi memberikan pendedahan,pengalaman dan ilmu kejurulatihan futsal kepada jurulatih yang telah mengikut Program Pembangunan dan Kejurulatihan Futsal (Futsal coaching and Development Program) yang telah dianjurkan oleh akademi berkenaan tahun lalu.

    Apabila ditanya mengenai kelainan klinik futsal ini, jelasnya, ia sangat ketara kerana kali ini setiap latihan akan dipantau oleh dua ke tiga orang jurulatih agar ia berjalan lebih teratur dan terarah dan pada siri yang lalu mereka telah memperkenalkan metodologi dan sistem futsal daripada FIFA dan AFC.

    Haji Puspa ketika ditemubual oleh media. – Gambar oleh Hasrulraizan

    Beliau juga menyatakan harapan supaya penganjuran kali ini lebih bermanfaat dan mencapai apa yang dihasratkan agar ia dijalankan dengan lebih berkualiti, lancar dan mendapat sambutan daripada peserta dan peminat sukan futsal di negara ini.

    “Program dan kaedah latihan yang digunakan adalah teknik terkini dan disampaikan melalui metodologi yang profesional dan tersusun dengan baik oleh jurulatih kami yang berpengalaman dan diiktiraf oleh FIFA dan AFC,” jelasnya kepada Media Permata.

    “Perancangan masa panjang akademi adalah untuk membangunkan sukan futsal sebagai sukan utama yang diiktiraf di Negara Brunei Darussalam melalui budaya yang memberi inspirasi kepada anak-anak untuk bermain, melalui keseronokan dan interaksi sosial yang mewujudkan minat sukan dengan menyediakan persekitaran yang menyeluruh,” tambahnya

    Beliau menegaskan pihak akademi berkenaan juga berhasrat untuk bekerjasama dengan kementerian-kementerian serta pihak NGO di negara ini untuk menyumbang dan sama-sama turut serta dalam menangani masalah sosial dan kesihatan bagi memberi peluang kepada yang kurang bernasib baik dan berkeupayaan mengikut perspektif sukan futsal.

    “Kami turut menyahut baik seruan untuk pembangunan akar umbi dan belia dalam adegan futsal tempatan selain berusaha membantu pihak berkenaan untuk meningkatkan kualiti futsal mengikut piawaian profesional sepenuhnya serta memberi asas bakat berkualiti untuk bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus mendapat pengiktirafan untuk sukan ini sebagai kerjaya yang berbaloi,” tegasnya lagi.

    Sebelum mengakhiri temu bual, beliau telah menyarankan supaya pihak berkepentingan di negara ini untuk sama-sama bangkit memartabatkan sukan futsal sebagai salah satu perkara utama, memandangkan potensi yang terdapat dalam sukan tersebut yang telah memberikan kejayaan kepada nama-nama besar pemain dunia seperti Pele, Maradona, Robinho, Ronaldino, Zidane, Christiano Ronaldo dan Messi yang pada awalnya bermula daripada sukan futsal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda