Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penganjuran LTdL 2023 kelas tersendiri bukti kemampuan MSN

    KUALA LUMPUR, 1 OKT – Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berakhir semalam, membuktikan keupayaan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur dalam memastikan perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Asia itu berada dalam kelasnya tersendiri.

    Tatkala pelbagai ranjau dihadapi termasuk kekurangan penyertaan pasukan WorldTeam, kerjasama erat semua pihak terutamanya 22 pasukan bertanding dan pihak logistik yang bertungkus-lumus bekerja di setiap lokasi perlumbaan, berjaya memastikan kelancaran serta kemeriahan penganjurannya.

    Baik daripada sudut promosi, liputan siaran langsung mahupun percaturan saingan perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak sejauh 1,278.1 kilometer (km) itu, tidak disangkal ia telah dikendalikan secara profesional oleh penganjur.

    Perkara tersebut diakui Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, susulan apa yang dirancang berjalan lancar bermula daripada sesi pengenalan pasukan sehinggalah ke saingan LTdL peringkat terakhir semalam.

    “Kemeriahannya adalah luar biasa dan bila masuk ke peringkat pertama sampai kelapan kita lihat perlumbaan secara keseluruhan berjalan dengan sangat lancar cuma ada kemalangan kecil serta beberapa masalah kecil.

    “Saya lihat juga bahawa kita punya penyiaran televisyen tahun ini mendapat pujian Eurosport (rangkaian televisyen sukan berbayar antarabangsa). Tidak ada isu langsung dan standard jauh lebih baik dengan ada grafik setanding perlumbaan Vuelta Espana dan Tour de France,” katanya.

    Cetusan idea untuk memperkenalkan penggunaan kamera badan di dalam kereta pasukan bertanding, dalam masa sama menjadikan saingan LTdL kali ini tampil menarik minat penonton mengikuti rapat perlumbaan edisi ke-27 itu di media sosial.

    “Maksudnya tahap penyiaran kita pun meningkat tinggi. Begitu juga dari media sosial termasuk Facebook, TikTok saya jangkakan mampu memperoleh tanda suka dan tontonan melebihi 30 hingga 40 juta tahun ini,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda