KUALA LUMPUR, 27 OKT – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap pengumuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai penganjuran edisi sulung Piala ASEAN FIFA sebagai satu langkah bersejarah dalam pembangunan bola sepak di Asia Tenggara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pengumuman itu amat signifikan bukan sahaja kepada bola sepak di rantau ini tetapi Malaysia khususnya kerana diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata penganjuran kejohanan itu juga dijangka membuka lembaran baharu kepada bola sepak Asia Tenggara di bawah bumbung FIFA, selain menjadi platform penting untuk meningkatkan tahap persaingan pasukan-pasukan di rantau ini.
Beliau berkata inisiatif itu juga bakal memperkukuh hubungan antara negara ASEAN dalam semangat kesukanan dan persahabatan, selain meningkatkan mutu pertandingan kerana ia akan berlangsung dalam kalendar rasmi FIFA.
Yusoff bagaimanapun berkata penganjuran kejohanan itu masih di peringkat awal dan memerlukan perbincangan lanjut serta komprehensif sebelum dapat direalisasikan sepenuhnya. – Bernama


