ISTANBUL, 28 OGOS – Seorang pengantin lelaki terkorban akibat kecederaan selepas terkena tembakan perayaan bagi meraikan perkahwinannya di utara Turkiye, lapor media tempatan kelmarin.
Ketika pasangan pengantin baharu diiringi pulang selepas majlis itu, pengantin lelaki berusia 23 tahun, yang dikenali sebagai Ali K., cedera akibat tembakan, disyaki berpunca daripada seorang saudara perempuan isterinya, lapor agensi berita negara Anadolu.
Wanita berusia 47 tahun itu telah ditahan oleh pasukan keselamatan dan dua pucuk pistol tidak berlesen ditemui di rumahnya, katanya. Pendakwa raya telah membuka siasatan berhubung kejadian itu.
Tembakan perayaan adalah perkara biasa pada majlis perkahwinan di wilayah Laut Hitam utara Turkiye.
Minggu lalu, seorang lagi lelaki maut dan dua lagi cedera akibat tembakan perayaan sebelum perkahwinan di wilayah Trabzon timur laut.
Perkahwinan itu dibatalkan manakala dua orang, salah seorang daripadanya pegawai polis, telah ditahan berhubung kejadian itu, lapor media tempatan. – AFP


