Thursday, January 30, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengarah drama Everything Will Come True tarik diri

    Pengarah Lee Byunghun, yang sebelum ini bertanggungjawab mengarahkan siri baharu Netflix tulisan Kim Eunsook bertajuk Everything Will Come True, dilaporkan menarik diri secara mengejut daripada projek tersebut.

    Menurut kenyataan seorang pegawai Netflix kelmarin, “Pengarah Lee Byunghun telah menarik diri daripada Everything Will Come True atas alasan peribadi.

    “Syarikat produksi akan mengambil alih pengurusan peringkat akhir siri ini dengan kerjasama kakitangan profesional dalam setiap bidang.”

    Pegawai tersebut menambah, “Kami memohon pemahaman orang ramai kerana tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai waktu dan sebab sebenar pengunduran pengarah ini.”

    Siri Everything Will Come True, yang kini selesai penggambaran, mengisahkan seorang jin, iaitu roh lampu yang penuh emosi, dan seorang wanita yang membangkitkan jin tersebut, apabila mereka berhadapan konflik berkaitan tiga permintaan, kongsi Allkpop.

    Antara pelakon utama yang membintangi siri itu termasuk Kim Woobin, Suzy, Ahn Eunjin, Noh Sanghyun, dan Go Kyupil.

    Projek tersebut telah menarik perhatian besar sejak peringkat pra-produksi kerana menampilkan barisan pelakon ternama dan kolaborasi antara penulis Kim Eunsook, yang terkenal melalui drama-drama hit seperti Secret Garden, Mr Sunshine, Goblin, Descendants of the Sun dan The Glory, serta pengarah Lee Byunghun, yang dikenali menerusi filem seperti Twenty dan Extreme Job, serta drama Melo is My Nature.

    Walau bagaimanapun, tarikh tayangan rasmi siri berkenaan masih belum diumumkan. – Agensi

    Kim Woobin dan Suzy berganding bahu sebagai watak utama dalam drama Everything Will Come True. – Allkpop
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda