Belum ditayangkan produksi naskhah kesinambungan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencetuskan kontroversi apabila pengarahnya, Areel Abu Bakar mendakwa khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk menyelesaikan baki 10 peratus filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu.
Areel berkata, keputusan mengejutkan itu dibuat syarikat produksi terbabit dalam satu pertemuan tertutup pada April lalu selepas filem berjudul Pendekar Awang itu berjaya disiapkan sebanyak 90 peratus.
“Saya sudah siapkan 90 peratus penggambaran. Alhamdulillah, sikit lagi nak habis, tiba-tiba produksi hentikan penggambaran filem tanpa alasan.
“Memang kecewa kerana saya sudah letak sepenuh hati kepada kerja penghasilan filem ini.
“Saya tak tarik diri, tetapi status tergantung. Memang saya sangat gembira kerana filem sudah 90 peratus disiapkan termasuk suntingan.
“Sebaik selesai, saya dipanggil produksi untuk mengadakan perbincangan yang turut disertai peguam.
“Saya tanya apa alasannya, tetapi pihak produksi tak boleh jawab. Sampai sekarang saya masih belum dapat apa-apa surat. Biarlah mereka selesaikan dahulu barulah saya akan keluarkan kenyataan.
“Tetapi, kalau mereka tak nak selesaikan apa-apa, saya akan keluarkan kenyataan secara rasmi,” katanya kepada BH Online.
Dia mengakui masih terbuka untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut yang melanda, namun pengarah filem Geran itu meletakkan syarat yang perlu dipatuhi produksi berkenaan. – Agensi