HONG KONG, 2 JAN – Jutawan prodemokrasi Hong Kong, Jimmy Lai mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan ‘hasutan’ dan ‘subahat’ dalam perbicaraan keselamatan negara berprofil tinggi yang boleh menyebabkannya dipenjarakan seumur hidup.
Tuduhan terhadap Lai – pengasas tabloid berbahasa Cina yang popular, Apple Daily yang kini ditutup – berkisar tentang penerbitan akhbar itu, yang menyokong protes pro-demokrasi dan mengkritik kepimpinan Beijing.
Lelaki berusia 76 tahun itu juga dituduh atas dua pertuduhan bersubahat dengan kuasa asing dengan menggesa sekatan antarabangsa terhadap pegawai China dan Hong Kong.
“Tidak bersalah,” kata Lai dalam bahasa Inggeris untuk setiap tiga pertuduhan yang dibacakan.
Memakai baju putih dan jaket biru laut, lelaki itu dikelilingi oleh tiga pengawal penjara di kandang tertuduh.
Isteri dan beberapa anaknya duduk di galeri bilik mahkamah, yang penuh sesak dengan wartawan dan orang ramai.
Perbicaraan Lai, yang bermula pada akhir 2023 selepas dia dipenjarakan selama lebih 1,100 hari, sedang dipantau teliti sebagai pengukur kebebasan politik dan kehakiman Hong Kong.
Defendan lain dalam kes itu termasuk tiga syarikat Apple Daily yang telah diambil alih oleh kerajaan Hong Kong, enam bekas eksekutif akhbar itu dan dua aktivis muda yang ada kaitan dengan kumpulan advokasi yang dipanggil Stand With Hong Kong Fight For Freedom (SWHK). – AFP