TOKYO, 20 FEB – Hirotake Yano, yang mengasaskan rangkaian runcit Daiso, terkenal dengan kedai 100 yen, setara dengan kedai dolar Jepun, telah meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Yano meninggal dunia pada 12 Februari akibat kegagalan jantung, kata Daiso Industries Co. dalam satu kenyataan, kelmarin.
Yano mengasaskan perniagaannya, berpangkalan di Hiroshima, sebagai Yano Shoten pada tahun 1972, kemudian menukar nama kepada Daiso pada tahun 1977. Peruncit diskaun itu mula bekerja dengan kedai 100 yen pada 1980an dan membuka kedai yang pertama di bawah nama Daiso pada tahun 1991.
Syarikat itu kini beroperasi lebih daripada 5,000 kedai di 26 buah negara dan wilayah. Mereka memperoleh lebih daripada 580 bilion yen (AS$4 bilion) dalam jualan tahun fiskal terkini.
Kedai-kedai itu mempunyai kira-kira 76,000 produk, kata Daiso, daripada barangan alat tulis dan span dapur, peralatan rumah, produk kosmetik dan penjagaan rambut, dan barangan makanan seperti kacang dan buah-buahan kering.
Namun, tidak semua barang berharga pada harga 100 yen.
Terdapat juga barang yang harganya dua kali ganda atau lebih, tetapi semuanya agak berpatutan.
Graduan Universiti Chuo Tokyo itu dipuji dan dikritik sebagai ‘lelaki 100 yen.’ Populariti kedai-kedainya dilihat sebagai cerminan krisis deflasi Jepun.
Namun model jualan produk pada satu harga turut dianggap popular. – AP