NEW YORK, 29 MAC – Pengasas perkhidmatan pertukaran mata wang kripto FTX, Sam Bankman-Fried yang disabitkan dengan kesalahan menipu, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, lapor agensi berita dpa.
Hakim New York, Lewis Kaplan mengumumkan keputusan itu kelmarin, lapor media Amerika Syarikat (AS) dari mahkamah.
Peguam yang mewakili Bankman-Fried, 32, telah mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan sejak sabitannya pada November.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Kaplan itu antara jangkaan pihak pendakwaan, yang memohon hukuman penjara 40 hingga 50 tahun, namun pihak pembelaan mencadangkan hukuman penjara enam tahun. – Bernama