SAN FRANCISCO, 25 Sept – Pengasas bersama Instagram, Kevin Systrom dan Mike Krieger akan meninggalkan aplikasi perkongsian gambar yang dibeli oleh Facebook enam tahun lalu itu, kata mereka lewat semalam, meninggalkan syarikat induk tersebut dengan ujian baharu tatkala ia berusaha mematahkan krisis yang memuncak.
“Mike dan saya berterima kasih untuk tempoh lapan tahun di Instagram dan enam tahun dengan kumpulan Facebook,” kata Systrom dalam satu kenyataan, ekoran satu laporan mengenai pemergian mereka oleh akhbar The New York Times.
“Kami merancang untuk meluangkan masa bagi meninjau sifat ingin tahu dan kreativiti kami sekali lagi.”
Systrom, 34 tahun, mencipta aplikasi itu pada tahun 2010 bersama Krieger, 32, kini ‘ketua pegawai teknikal’ bersara, apabila mereka masih pelajar di Universiti Stanford di tengah Silicon Valley.
Kekayaan Systrom dianggarkan bernilai AS$1.4 bilion oleh Forbes.

“Membina benda baharu memerlukan kami menilai sejenak, memahami apa yang mendorong kami dan memadankannya dengan apa yang diperlukan oleh dunia, itulah yang kami rancang ingin lakukan,” kata kenyataan tersebut, walaupun beberapa media Amerika Syarikat (AS) berkata perpecahan itu berlaku susulan percanggahan pendapat dengan eksekutif di Facebook.
“Sekarang kami bersedia untuk berdepan dengan bab seterusnya,” tambah kenyataan.
Instagram pada Jun lalu telah mengumumkan bahawa para pengguna aktifnya telah mencecah satu bilion, dan melancarkan ciri-ciri video baharu dalam usaha untuk menarik ‘pencipta’ seperti yang terdapat di YouTube.
Ia menjadi platform Facebook keempat yang menjangkau jumlah satu bilion pengguna, termasuk rangkaian sosial lain dengan lebih daripada dua bilion pengguna di aplikasi pesanan WhatsApp dan Messenger.
Facebook memperoleh Instagram pada April 2012 untuk kombinasi wang tunai dan saham yang bernilai kira-kira AS$1 bilion pada masa itu.
Instagram menjadi popular dengan pengguna Internet muda, golongan yang menjadi sasaran oleh Facebook dalam kumpulannya.
Sebelum ini, pengasas bersama Instagram dilaporkan telah ‘bertelingkah’ dengan pemimpin Facebook berhubung ‘autonomi’ perkhidmatan perkongsian gambar dalam syarikat, menurut The Wall Street Journal, memetik orang yang rapat dengan perkara itu. – AFP