Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengasas KK Mart, isteri bebas tuduhan isu stoking kalimah Allah

    SHAH ALAM, 15 JULAI – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) serta syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd masing-masing didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berkaitan stoking tertera kalimah Allah.

    Hakim Muhamad Anas Mahadzir menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua wakil syarikat itu Tee Kok Hiem, 61, (pengurus besar KK Mart) dan Soh Hui San, 36, (pengarah syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd) mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan semula kepada mereka secara berasingan.

    Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan membebaskan pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri Loh Siew Mui daripada semua pertuduhan sama.

    Turut dibebaskan daripada pertuduhan sama ialah tiga pengarah syarikat pembekal itu iaitu Soh Chin Huat, 61; Goh Li Huay, 62; dan, Soh Hui San, 36.

    Menurut kertas pertuduhan, KK Mart didakwa dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan kedai serbaneka itu di cawangan Bandar Sunway pada 6:30 pagi, 13 Mac lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Xin Jian Chang Sdn Bhd pula dituduh bersubahat mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap Chai dan isteri serta tiga pengarah syarikat.

    Bagaimanapun peguam Rajpal Singh dan Fahri Azzat yang mewakili kesemua tertuduh memohon supaya semua anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya. – Bernama

    Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan mereka daripada semua pertuduhan berkaitan stoking tertera kalimah Allah, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda