PARIS, 25 MEI – Pengasas Telegram, Pavel Durov, telah dinafikan permintaan untuk melakukan perjalanan dari Perancis ke Norway bagi menghadiri satu persidangan hak asasi manusia, menurut penganjur kelmarin.
Durov, 40, telah ditahan di Paris pada tahun 2024 dan kini sedang disiasat secara rasmi berhubung kandungan haram di platform pemesejan popular miliknya.
Beliau sepatutnya berucap pada Forum Kebebasan Oslo pada Selasa, membincangkan topik berkaitan kebebasan bersuara, pemantauan dan hak digital dalam perhimpunan tahunan itu.
Namun, penganjur iaitu Yayasan Hak Asasi Kemanusiaan (Human Rights Foundation) berkata mahkamah Perancis telah menghalangnya daripada melakukan perjalanan secara fizikal.
Sebaliknya, beliau akan menyampaikan ucapannya secara maya, tambah mereka.

“Adalah sangat dikesali apabila mahkamah Perancis menghalang Durov daripada menyertai satu acara yang sangat memerlukan suaranya,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HRF, Thor Halvorssen.
“Teknologi seperti Telegram merupakan alat asas bagi mereka yang menentang kezaliman. Ini bukan sahaja satu kekecewaan kepada komuniti kami; ia juga satu kemunduran bagi kebebasan.”
Pada bulan Mac lalu, Durov dibenarkan meninggalkan Perancis untuk ke Dubai, lokasi syarikatnya berpusat.
Namun awal minggu ini, beliau dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat untuk bertemu dengan beberapa dana pelaburan.
Sejak penahanannya, Durov dilihat telah tunduk kepada permintaan pihak berkuasa Paris untuk meningkatkan usaha membanteras kandungan haram seperti penderaan kanak-kanak dan penjualan dadah di Telegram. – AFP