Usahawan dan pengasas produk, Zaiti Noordin tetap dengan pendirian tegas meletakkan syarat selebriti wanita yang menjadi duta atau wajah promosi serta kempen jenamanya perlu bertudung.
Menurut laporan mStar, Zaiti berkata keputusan nekad itu seiring dengan cerminan dua nilai teras diperjuangkan jenamanya iaitu terinspirasi dan terpelihara.
Jelasnya, mereka bukan melawan arus sebaliknya sedar pegangan serta prinsip diperjuangkan itu sudah dibuat oleh kebanyakan ahli perniagaan selain menyifatkan ia sebagai dakwah kecil.
“Mungkin selama ini pilihan artis atau selebriti tidak bertudung lebih diutamakan tapi kami setia dengan prinsip meletakkan wajah atau duta produk yang mesti bertudung.
“Sekalipun ada selebriti tidak bertudung, kami meminta jasa baik dan kerjasama mereka untuk sekurang-kurangnya menutup aurat ketika mempromosikan produk.
“Contoh terbaharu ialah pelakon Reen Rahim yang sudah bersetuju dengan syarat dan kehendak berkenaan selepas menjalinkan kerjasama dengan kami,” katanya.
Tambah Zaiti, dalam konteks memberi inspirasi, produknya ingin memecah tembok pemikiran wanita berhijab di Malaysia sekali gus memperkasa golongan berkenaan.
“Kami ingin mengubah stereotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan.
Dalam konteks memelihara pula, ia lebih jelas sebagaimana kita balut buku untuk memelihara kulit depan dan belakangnya atau memakai langsir di tingkap untuk mencantikkan.
“Tak lupa keselamatan makanan terjaga dengan mengguna penutup saji. Begitu juga dengan cara Islam menghargai dan memelihara keindahan wanita. Produk ini juga ingin memelihara keindahan wanita dengan cara sama,” ujarnya. – Agensi