Pengasingan diri tertakluk pada kesesuaian tempat

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Pengasingan diri di rumah persendirian, seperti yang telah diumumkan sebelum ini, adalah tertakluk kepada kesesuaian tempat sama ada mereka dapat diasingkan daripada penghuni yang lain.

Begitu juga halnya bagi syarikat-syarikat, jika ada tempat sesuai yang membolehkan pekerja mereka yang positif membuat pengasingan dengan selesa, ia juga akan dibolehkan dengan mendapat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan.

Perkara tersebut diperjelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menambah bahawa memandangkan kebanyakan tempat-tempat tinggal pekerja tidak begitu sesuai bagi mereka membuat pengasingan diri, oleh itu, keperluan untuk menjalankan pengasingan diri di pusat-pusat pengasingan yang disediakan oleh pihak kerajaan masih diperlukan.

Jika ada syarikat yang mampu menunjukkan bahawa mereka boleh membuat pengasingan dengan baik, ia akan boleh dipertimbangkan, tambah Yang Berhormat Dato.