JOHOR BAHRU, 15 OGOS – Seorang pengasuh taska didenda RM40,000 dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan bertindak cuai terhadap dua anak damit di sebuah taska, di Taman Mutiara Rini, di sini, Mac lepas.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, dan memerintahkan dikenakan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mahkamah juga memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM20,000 tidak bercagar bagi setiap pertuduhan dan menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan mulai hari ini bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Che Wan Zaidi berkata walaupun perbuatan tertuduh tidak membabitkan kecederaan ke atas kedua-dua anak damit itu, namun sepatutnya mereka dijaga dengan penuh kasih sayang.
Beliau berkata sebagai pengasuh yang diamanahkan di pusat asuhan itu, tertuduh didapati bertindak cuai dan melakukan perbuatan yang tidak sewajarnya ke atas kedua-dua anak damit tersebut.
“Oleh itu, mahkamah perlu beri satu hukuman yang bersesuaian dengan perbuatan kamu dan ia sebagai pengajaran kepada kamu, masyarakat, taska atau pusat asuhan, juga supaya kamu menjadi orang yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ari, manakala tertuduh diwakili peguam Syufri A Samad.
Pada 21 Mei lepas, Nurul Shahira A’shiqin mengaku bersalah atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang anak damit perempuan berusia sembilan bulan dan seorang anak damit lelaki berumur tujuh bulan di sebuah taska. – Bernama


