DIGITAL parenting atau pengasuhan digital mungkin kedengaran asing bagi kebanyakan ibu bapa hari ini. Sekalipun kata ringkasnya mudah difahami, ramai juga yang tersilap mentafsir istilah yang dimaksudkan dengan pengasuhan digital.
Bagi ibu bapa yang faham, pastinya mereka tergolong dalam kalangan individu peka terhadap perkembangan anak pada era teknologi kini.
Namun, bagi yang masih belum menyedari kewujudan istilah ini, pengasuhan digital boleh dianggap sebagai pola baru untuk ibu bapa mendidik permata hati, sesuai dengan kebiasaan anak menggunakan gajet atau peranti digital.
Menurut pendapat pakar psikologi di Korea, perkara paling utama dalam pengasuhan digital adalah dengan menyatakan batasan jelas kepada anak-anak mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menggunakan gajet.
Malah, sebelum ibu bapa memutuskan untuk membelikan telefon bimbit atau komputer untuk kegunaan anak, mereka sepatutnya berbincang dan menyenaraikan syarat, peraturan serta larangan penggunaan peranti berkenaan terlebih dulu.

Misalnya, anak dilarang menggunakan telefon bimbit ketika keluarga sedang berkumpul atau makan, tidak mengganggu jadual waktu belajar, tidak leka menggunakannya sehingga lewat malam ataupun tidak disalahgunakan untuk memuat turun video terlampau.
Jika semua ini diambil kira dengan baik, tidak mustahil kanak-kanak, khususnya remaja lebih terpelihara daripada kesan negatif era digital hari ini.
Begitupun, dalam kebanyakan hal, ibu bapa mungkin gagal melaksanakan pengasuhan digital jika masih dibelenggu kesukaran untuk menolak atau menyatakan tidak kepada kehendak serta keinginan anak-anak.
Realiti hari ini menunjukkan ibu bapa terlalu mudah akur pada permintaan anak sejak kecil tanpa sedar perbuatan itu boleh merosakkan masa depan mereka. Inikan pula ketika dunia melangkah pantas ke era digital.
Jadi, sebelum memulakan pengasuhan digital, ada eloknya jika ibu bapa mula mengenali pentingnya teguran tidak, tidak boleh dan jangan dalam kehidupan anak-anak.
Perubahan digital
Membandingkan pendidikan anak dulu dan kini, ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Ruby Izyan Atika Abu Bakar berkata, Islam banyak memberi panduan dan kaedah mendidik sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi.
Umpamanya, hukuman rotan apabila anak tidak mengerjakan solat saat usia sudah mencecah tujuh tahun dan banyak lagi cara mendidik yang dihimpunkan menerusi surah Luqman.
“Cuma, sebagai manusia, kita tidak akan dapat lari daripada adat dan budaya. Sudah menjadi adat orang Melayu mendidik anak dengan cara Melayu. Begitu juga dengan bangsa lain. Masing-masing ada adat pegangan yang diikuti.
“Setiap adat budaya mendidik itu pula ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Contohnya, orang Melayu cenderung mendidik anak dengan cara menakut-nakutkan untuk mengelak anak melanggar peraturan. Ada pula yang tidak membenarkan sama sekali anak untuk ‘menjawab’ apabila bercakap dengan orang dewasa. Semuanya mesti ya dan patuh saja.
“Bagaimanapun, masih ada adat Melayu yang bagus seperti tidak membenarkan anak pulang lewat dari waktu Maghrib. Anak diajar menghormati dan ringan tulang menolong orang dewasa, menjaga adik-adik yang masih kecil, tidak meninggikan suara dan sebagainya.
“Paling ketara, silibus akademik sekolah sudah jauh berbeza hari ini daripada apa yang dihadapi pelajar 10 tahun dulu. Hal ini juga selari dengan situasi di rumah.
Banyak perubahan yang berlaku dalam membina institusi keluarga. Kesan pembangunan era digital, ibu bapa mempunyai banyak pilihan di Internet untuk mendidik anak masing-masing,” katanya.
Uniknya, perubahan pantas ini menyentuh setiap aspek pendidikan anak. Bayangkan jika kita terasing daripada dunia untuk lima tahun kebelakangan ini, tentunya bingung memikirkan arah dan punca untuk bergerak seiring perubahan gaya hidup kini.


Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak juga tidak ketinggalan pesatnya. Semakin banyak tadika menawarkan kaedah naturalistik dan Islamik. Tadika kini tidak lagi terlalu memberatkan pencapaian akademik pantas, sebaliknya menekankan perkembangan psikologi dan kognitif kanak-kanak terlebih dulu supaya mereka bersedia untuk melangkah ke alam persekolahan yang kian mencabar.
Mendidik di era digital
Menyentuh mengenai tumbesaran anak, Ruby berkata, proses mendidik si manja sepatutnya bermula sejak dari dalam kandungan lagi. Pada usia kehamilan mencecah umur 24 minggu, sel-sel organ pendengaran akan mula berfungsi dan memberi tindak balas.
“Ibu yang selalu menggunakan ayat positif dan mendengar kata-kata positif pastinya memberikan kesan serupa kepada kandungannya.
“Sementara anak juga memerlukan keupayaan kognitif untuk memahami rutin harian seperti waktu makan, mandi, tidur dan sebagainya. Semakin ibu bapa konsisten dengan rutin harian anak, semakin mudah jugalah untuk anak faham bahawa dia mesti patuh dengan aturan yang dibuat.
“Jika rutin selalu berubah, umpamanya ibu bapa kerap keluar membeli-belah pada waktu malam, masa solat tidak konsisten dan sebagainya, anak akan mudah marah. Ketika inilah masalah tantrum muncul. Anak mudah melemparkan rasa tidak puas hati apabila disuruh kembali mengerjakan rutin harian yang ditinggalkan,” katanya.
Jelas Ruby, anak memerlukan peraturan untuk menjalani kehidupan yang teratur. Untuk itu, ibu bapa mestilah mengambil inisiatif, mewujudkan batasan undang-undang di rumah dan memastikan semua ahli keluarga mengikut peraturan ditetapkan.
“Contohnya, semua ahli keluarga perlu makan di meja atau dilarang minum sambil berdiri. Ibu bapa harus konsisten dan bekerjasama. Hal yang paling kerap berlaku kini apabila bapa terlalu memanjakan anak dan hanya ibu saja yang menjadi ‘polis’ di rumah. Akhirnya, usaha jadi sia-sia.
“Sama halnya dengan gajet. Penggunaan skrin seperti televisyen, telefon bimbit dan tablet, boleh memberi kesan negatif kepada tumpuan visual si manja. Malah, ramai kanak-kanak didapati mengalami lewat perkembangan pertuturan bahasa akibat penggunaan gajet.
“Selalunya, kanak-kanak ini didedahkan dengan gajet seawal umur satu hingga dua tahun lagi. Pada waktu ini, sel-sel otak sedang pesat berkembang. Mereka sepatutnya mengenal dunia menerusi deria pendengaran, penglihatan, rasa, sentuhan, keseimbangan dan bau.
“Namun, apabila kanak-kanak tidak dilarang menggunakan gajet berlebihan, bebas meneroka tanpa kawalan ibu bapa, rangsangan deria juga menjadi terhad kepada apa yang ditonton semata-mata. Rangsangan visual pula hanya fokus kepada input yang cerah, menarik, cepat bertukar dan disertai bunyi menarik.
“Hakikat di dunia nyata bukanlah sedemikan rupa. Buku cerita hanyalah naskah bergambar tanpa bunyi, pokok bunga hanyalah bunga, daun, batang dan ranting. Kanak-kanak akan mudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada persekitaran berikutan tidak memiliki ciri sebagaimana digambarkan gajet kesayangan mereka. Ini termasuk arahan ibu bapa dan guru di dalam kelas,” katanya. – Agensi