ROM, 1 SEPT – Anak kapal yang bertugas pada malam insiden sebuah kapal layar mewah tenggelam di luar pantai Sicily bulan lalu, yang mengakibatkan tujuh orang terkorban, telah membunyikan penggera dan mengejutkan kapten, menurut laporan media Itali hari ini.
Pendakwa raya di pulau Itali tersebut sedang menyiasat kemungkinan dakwaan kesalahan menyebabkan kapal karam dan pembunuhan selepas kapal layar Bayesian tenggelam dalam ribut sebelum subuh pada 19 Ogos lalu, yang mengorbankan jutawan teknologi British, Mike Lynch, anak perempuannya dan lima orang yang lain.
“Saya memantau keadaan cuaca sepanjang malam,” termasuk angin yang bertiup sekitar 40 kilometer sejam, kata Matthew Griffiths, yang dipetik oleh agensi berita Ansa tanpa menyebut sumbernya.
“Saya kemudian segera mengejutkan kapten yang mengambil alih operasi. Dia memberikan arahan untuk mengejutkan yang lain,” tambahnya.
Kapten James Cutfield, seorang warga New Zealand berusia 51 tahun, merupakan salah seorang daripada 15 yang terselamat, sembilan daripada 10 kru dan enam daripada 12 penumpang.
Dia menjadi tumpuan siasatan bersama jurutera Tim Parker Eaton, yang bertanggungjawab di bilik enjin malam itu, serta Griffith, anak kapal yang bertugas sebagai pemerhati.
Cutfield mengesahkan bahawa beliau telah dikejutkan oleh pemerhati dan mengarahkan “untuk memaklumkan yang lain kerana saya tidak suka keadaan ini,” katanya seperti yang dipetik oleh akhbar Corriere della Sera.
Anak kapal berkata, kapal itu kemudian tiba-tiba senget dan beberapa anggota kru mendapati diri mereka berada di laut.
“Kami berjaya kembali ke kapal dan cuba membentuk rantaian manusia untuk menyelamatkan mereka yang berjaya sampai ke dek,” kata Griffith.
Dia menambah bahawa kapten adalah orang pertama dalam rantaian itu dan beliau membantu semua orang. – AFP