Tuesday, December 24, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengawal keselamatan lepas gas pemedih mata

    BAGHDAD, 1 JAN – Pasukan keselamatan di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baghdad melepaskan gas pemedih mata hari ini untuk meleraikan penunjuk perasaan pro-Iran yang telah menghabiskan semalaman di luar pagar kedutaan, kata seorang jurugambar AFP.

    Beribu-ribu penyokong puak bersenjata Iraq yang rapat dengan Iran telah berkumpul di kedutaan itu semalam dalam kemarahan terhadap serangan udara AS yang membunuh 25 pejuang pro-Iran hujung minggu lalu.

    Mereka berarak dengan mudah melalui pusat pemeriksaan di Zon Hijau yang kebiasaannya mempunyai kawalan keselamatan yang ketat untuk sampai ke kedutaan, memecah masuk kawasan keselamatan dan menconteng grafiti untuk menyokong Tehran.

    Mendirikan kira-kira 50 khemah dan bilik mandi mudah alih, beratus-ratus penunjuk perasaan mengumumkan akan duduk di pagar kedutaan sehingga pasukan AS digulingkan dari negara ini.

    Pada hari ini, orang ramai menghampiri tembok yang memisahkan mereka dan kompleks diplomatik yang besar, serta membakar bendera AS.

    Sebagai tindak balas, pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata pada penunjuk perasaan, ada di antara mereka dilaporkan cedera dan dibawa keluar oleh ambulans.

    Kepungan pasukan keselamatan Iraq yang dibentuk di sekitar kedutaan itu reda ketika gas dilepaskan. – AFP

    Penyokong dan ahli separa tentera Hashed al-Shaabi berkumpul semasa demonstrasi di luar kedutaan AS di ibu kota Iraq, Baghdad. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda