MANILA, 21 MEI – Pengawal pantai Filipina dan Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali menyertai latihan ketenteraan bersama, menurut Angkatan Tentera Filipina hari ini, sebagai sebahagian daripada latihan yang lebih luas antara kedua-dua sekutu di Laut China Selatan.
Aktiviti kerjasama maritim itu diadakan kelmarin di perairan berhampiran Palawan dan Occidental Mindoro di bahagian barat Filipina.
Kedua-dua negara pernah menjalankan latihan bersama antara pengawal pantai, tetapi ini adalah kali pertama ia dilakukan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan gabungan. Angkatan Tentera Filipina menyifatkannya sebagai mencerminkan pendekatan menyeluruh negara terhadap kerjasama maritim.
Pengawal Pantai Filipina telah mengerahkan dua kapal – BRP Melchora Aquino sepanjang 97 meter dan BRP Malapascua sepanjang 44 meter manakala Pengawal Pantai AS menggunakan kapal pemotong Stratton, menurut kenyataan dari tentera Filipina.
Kapal-kapal tersebut turut bergabung dengan aset Tentera Laut dan Tentera Udara Filipina serta pesawat rondaan maritim P-8A Poseidon milik Tentera Laut AS dalam beberapa siri latihan termasuk semakan komunikasi, operasi mencari dan menyelamat, serta taktik perpecahan formasi.
“Ketika Filipina terus menyesuaikan diri dengan cabaran maritim yang semakin berkembang, aktiviti bersama seperti MCA mengukuhkan komitmen Angkatan Tentera Filipina untuk memodenkan keupayaan dan mengeratkan kerjasama pertahanan demi keselamatan maritim negara dan rantau,” kata Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner. – AFP
