DETROIT, 30 OGOS – Tesla membenarkan sesetengah pemandu menggunakan sistem bantuan pemandu autopilot untuk tempoh yang lama tanpa memaksa mereka meletakkan tangan pada stereng. Bagaimanapun, perkembangan itu telah menimbulkan kebimbangan daripada pengawal selia keselamatan Amerika Syarikat (AS).
Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) telah mengarahkan Tesla supaya memberitahu agensi itu jumlah kenderaan yang telah menerima kemas kini perisian yang membolehkannya berbuat demikian dan ia sedang mencari maklumat lanjut tentang rancangan pembuat kenderaan elektrik itu untuk pengedaran yang lebih luas.
“NHTSA bimbang ciri ini diperkenalkan kepada kenderaan pengguna dan memandangkan kewujudan ciri ini telah diketahui umum sekarang, lebih ramai pemandu mungkin cuba mengaktifkannya,” John Donaldson, pemangku ketua peguam agensi itu, menulis surat kepada Tesla pada 26 Julai yang disiarkan pada Rabu lalu di laman web agensi itu.
“Kelonggaran kawalan yang terhasil bertujuan untuk memastikan pemandu kekal terlibat dalam tugas pemanduan dinamik boleh menyebabkan kecuaian pemandu yang lebih besar dan kegagalan pemandu untuk mengawasi Autopilot dengan betul.”
Satu pesenan telah ditinggalkan awal Rabu lalu untuk mendapatkan komen daripada Tesla. – AP
