Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengawal selia India yakinkan pelabur selepas kerugian Adani

    MUMBAI, 5 FEB – Pengawal selia sekuriti India berkata kelmarin bahawa pasaran kini telah stabil dan dilindungi, berikutan kehilangan saham fenomenal yang melanda empayar perniagaan taikun Gautam Adani.

    Gabungan permodalan pasaran syarikat tersenarai Kumpulan Adani telah merosot sekitar AS$120 bilion, kira-kira separuh daripada nilai konglomerat itu sejak firma pelaburan AS, Hindenburg Research mengeluarkan laporan pada akhir Januari.

    Ia menuduh Adani melakukan penipuan perakaunan dan menaikkan harga sahamnya, menggelarnya sebagai ‘manipulasi saham dan skim penipuan perakaunan’ dan ‘penipuan terbesar dalam sejarah korporat’.

    Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI) berkata dalam satu kenyataan bahawa pasaran kewangan India telah ‘menunjukkan kestabilan yang berterusan dan terus berfungsi dengan cara yang telus, adil dan cekap’.

    Ia menambah bahawa ia telah ‘melaksanakan satu set langkah pengawasan yang jelas dan tersedia secara terbuka’ untuk menangani turun naik yang berlebihan dalam saham tertentu, tanpa menamakan konglomerat Adani.

    Sagar Kambli, seorang artis dan guru sekolah, memberikan sentuhan akhir kepada lukisan ahli perniagaan India, Gautam Adani, yang menggambarkan krisis berterusan kumpulan Adani, di Mumbai, India. – AP

    Adani menolak dakwaan dalam laporan Hindenburg sebagai serangan reputasi’berniat jahat’ dan mengeluarkan kenyataan setebal 413 muka surat yang menegaskan dakwaannya ‘tidak lain hanyalah penipuan’.

    Hindenburg berkata, Adani telah gagal menjawab kebanyakan soalan yang dibangkitkan dalam laporannya.

    Pengasas kumpulan itu melihat kekayaannya menjunam secara mendadak, mencampakkannya dari tempat ketiga ke tangga ke-17 dalam senarai orang kaya Forbes masa nyata.

    Operasinya telah berkembang pesat, dengan saham Adani Enterprises melonjak lebih 1,000 peratus sejak lima tahun lalu.

    Menteri Kewangan, Nirmala Sit-haraman baru-baru ini menegaskan pasaran India dikawal dengan baik dan kontroversi itu tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur.

    Awal minggu ini Adani membatalkan penjualan saham AS$2.5 bilion yang bertujuan untuk membantu mengurangkan tahap hutang yang menjadi kebimbangan bagi memulihkan keyakinan dan meluaskan asas pemegang sahamnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda