Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengawal sempadan Iran bertempur dengan Taliban

    TEHRAN, 31 JULAI – Pertempuran meletus hari ini antara pengawal sempadan Iran dan tentera Taliban, kata pegawai, dengan pihak Afghanistan mengesahkan seorang pegawai sempadan mereka terbunuh dan seorang lagi cedera.

    Kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain mengenai tembakan pertama.

    “Berlaku pertempuran antara pengawal sempadan Republik Islam Iran dan pasukan Taliban,” kata Meysam Barazandeh, gabenor daerah Hirmand Iran, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Fars.

    Dia menambah ‘konflik itu berlaku hanya sekejap dan sudah berakhir’.

    Fars melaporkan pertempuran berlaku di bahagian sempadan Iran, di kawasan Shaghalak negara Hirmand di wilayah Sistan-Baluchestan.

    “Pencabulan sempadan oleh Taliban berlaku hari ini,” kata Barazandeh, sambil menambah ‘pasukan kami membalas dengan respons bersesuaian’, dan ‘tiada kemalangan jiwa’ di pihak Iran.

    Agensi berita Tasnim Iran berkata, tentera Taliban menembak beberapa buah rumah di bandar Dust Mohammad, yang disusuli dengan berbalas tembakan ‘selang beberapa minit’.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat maklumat wilayah Nimroz Afghanistan menyalahkan pengawal sempadan Iran atas insiden itu.

    “Pasukan sempadan Iran melepaskan tembakan ke arah rondaan pasukan sempadan kami di daerah Kang di wilayah Nimroz,” menurut kenyataan itu.

    “Selepas itu mereka (tentera Iran) melepaskan tembakan di kawasan itu dengan senjata ringan dan berat. Dalam tembakan ini, seorang anggota pasukan sempadan kami maut dan seorang lagi cedera,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda