‘Pengebom nekad’ Filipina dikenalpasti

MANILA, 10 JULAI – Anggota keselamatan Filipina mengesahkan hari ini sekurang-kurangnya seorang ‘pengebom nekad’ Filipina menjadi dalang di sebalik satu serangan teruk pada bulan lalu, yang pertama untuk negara Asia.

Norman Lasuca dan seorang lagi suspek yang masih belum dikenal pasti meletupkan diri mereka di luar kem tentera di pulau terpencil selatan Jolo pada 28 Jun dalam serangan yang juga membunuh tiga tentera dan dua orang awam, kata polis dan tentera.

“Kami boleh mengesahkan kejadian pengeboman nekad pertama di Filipina, dilakukan oleh seorang warga Filipina, Norman Lasuca,” beritahu jurucakap tentera Brigadier Jeneral Edgard Arevalo pada sidang akhbar.

Pengeboman di Jolo menandakan kegiatan militan yang meningkat didorong oleh pengaruh kumpulan Islamic Group di Asia Tenggara, beritahu pakar keselamatan kepada AFP.

Pemberontakan berusia berdekad-dekad lamanya di selatan Filipina telah membunuh berpuluh-puluh ribu orang.

Namun serangan nekad amat jarang digunakan, dengan pejuang asing dipersalahkan atas beberapa serangan yang telah berlaku.

Jurucakap polis negara Bernard Banac menyifatkan pengeboman pada bulan lalu sebagai ‘serangan yang dianjur oleh kumpulan Abu Sayyaf’, geng militan di Jolo yang terlibat dalam penculikan dan pengeboman.

“Sebelum ini, kami hanya mendengar serangan alat letupan yang diubahsuai, serangan kawalan jauh namun kali ini seorang individu meletup dirinya sebagai pengebom berani mati,” kata Arevalo. – AFP

Jurucakap Angkatan Bersenjata Filipina Brigadier Jeneral Edgard Arevalo (kiri) bercakap di sebelah jurucakap Polis Negara Filipina Bernard Banac pada sidang media di ibu pejabat tentera di Manila kelmarin. – AFP