JALALABAD, Afghanistan, 17 Mei – Pengebom berani mati menyerbu stesen televisyen nasional di bandar timur Afghan Jalalabad hari ini, mencetuskan insiden berbalas tembakan dan letupan di mana wartawan terperangkap di dalam bangunan itu, pegawai-pegawai dan saksi berkata.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 16 yang lain cedera dalam serangan hampir empat jam ke atas Radio Televisyen Afghanistan, satu kejadian terbaru dalam rentetan serangan ke atas pekerja media di Afghanistan.
Setakat ini tiada kumpulan pemberontak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan di wilayah Nangarhar, sarang kumpulan Islamic State (IS), di mana tentera AS menjatuhkan bom bukan nuklear terbesar bulan lalu dalam serangan yang tidak disangka.
“Empat penyerang, yang memasuki bangunan RTA pagi ini, telah terbunuh,” kata jurucakap kerajaan Attaullah Khogyani kepada AFP selepas serangan berakhir.
“Sekurang-kurangnya dua orang penduduk awam, termasuk seorang pengawal RTA, terbunuh dan 16 yang lain cedera,” kata Kohgyani, di mana pekerja kesihatan memberitahu AFP bahawa kebanyakan mereka yang cedera telah dibawa ke hospital akibat mengalami luka dari tembakan tersebut.

Seorang jurugambar RTA berkata dia melarikan diri dari bangunan itu selepas insiden tembakan berlaku, tetapi ramai rakan-rakannya telah terperangkap dalam bangunan itu sehingga penyerang terbunuh.
Pemberontak IS aktif di wilayah Nangarhar.
Tentera AS bulan lalu menggugurkan bom yang digelar ‘Ibu Segala Bom’ – pada kedudukan IS di Nangarhar, membunuh berpuluh-puluh ahli kumpulan itu.
Pengeboman itu telah mencetuskan gelombang kejutan global, di mana sebahagiannya mengutuk penggunaan Afghanistan sebagai apa yang mereka namakan tempat untuk menguji senjata. – AFP