Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengecualian cukai bagi yuran latihan sukan wajar dipertimbang

    PUTRAJAYA, 11 OKT – Pelaksanaan pengecualian cukai terhadap kos atau yuran latihan sukan antara perkara diutamakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

    Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata perkara berkenaan telah dibincangkan bersama Kementerian Kewangan untuk dipertimbang supaya pihak yang mengeluarkan kos atau yuran latihan sukan dapat menikmati pelepasan cukai.

    “Sebelum ini pengecualian cukai diberikan kepada individu yang membuat pembelian alatan sukan, tetapi kita harap ia turut diberi kepada ibu bapa yang mengeluarkan belanja bagi tujuan latihan sukan anak-anak mereka.

    “Dengan adanya insentif ini, ia akan menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani latihan sukan dan dari situ lebih banyak duit dapat disalurkan seperti memberikan peluang pekerjaan buat jurulatih serta pada masa sama melahirkan bakat besar dalam sukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kejohanan US Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 di Menara KBS di sini hari ini.

    Hannah turut berharap peruntukan mencukupi dapat disalurkan kepada KBS menerusi belanjawan kali ini.

    “Kalau kita nak kecemerlangan dalam sukan, kita perlu melabur dan Sukan Asia sudah membuktikan semua perlukan duit kalau kita nak cemerlang, jadi saya harap peruntukan mencukupi untuk belia dan sukan,” katanya.

    Pada Belanjawan 2023 yang dibentangkan Februari lepas, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM324 juta kepada KBS untuk program latihan dan kemudahan sukan. – Bernama

    Hannah pada sidang media mengenai pencapaian atlet Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda