Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengecualian visa kepada pelancong India, Taiwan

    BANGKOK, 31 OKT – Thailand akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pelancong dari India dan Taiwan, umum perdana menteri hari ini, ketika kerajaan Thailand berusaha untuk membina semula sektor pelancongan utama selepas ia dilanda wabak.

    Pelawat dari India dan Taiwan dibolehkan tinggal sehingga 30 hari di bawah percubaan selama enam bulan, yang akan bermula pada bulan depan.

    Sektor pelancongan Thailand menyumbang hampir 20 peratus daripada keseluruhan KDNK, tetapi ia bergelut untuk bangkit semula sejak penularan wabak COVID-19.

    “Kami akan memberikan kemasukan tanpa visa kepada India dan Taiwan kerana ramai rakyat mereka gemar melancong ke Thailand,” kata Perdana Menteri, Srettha Thavisin kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet mingguan.

    Sehingga kini, pelancong dari India dan Taiwan terpaksa memohon visa semasa ketibaan selama 15 hari di pusat pemeriksaan imigresen, dengan mengemukakan penyata bank dan bukti penginapan.

    Langkah itu dibuat selepas kerajaan memperkenalkan skim bebas visa yang sama bagi pelancong China pada September.

    Jurucakap kerajaan, Chai Watcharong berkata pihak berkuasa berharap skim itu akan dapat menarik 1.4 juta pelancong tambahan, menjana pendapatan tambahan 55 bilion baht.

    Kira-kira 1.2 juta warga India melawat Thailand dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 menurut data kementerian pelancongan yang menyaksikan jumlah keempat tertinggi selepas Malaysia, China dan Korea Selatan.

    Srettha, yang mengambil alih kuasa pada Ogos berikutan perbalahan politik selama berbulan-bulan selepas pilihan raya berkata, meningkatkan sektor pelancongan dan merangsang ekonomi adalah antara keutamaannya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda