Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengecualian yuran, caj pindah antara bank dilanjut 6 bulan lagi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB) dalam kenyataan yang diterima hari ini bersetuju untuk melanjutkan pengecualian yuran dan caj pemindahan wang antara bank-bank domestik secara atas talian untuk semua pelanggan bank bagi tempoh enam bulan mulai dari 1 Oktober 2020 hingga 31 Mac 2021.

    Pelanjutan itu adalah sebagai salah satu usaha kedua-duanya untuk terus menyokong aktiviti-aktiviti ekonomi dan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani COVID-19.

    Menurut kenyataan itu lagi, AMDB dan BAB telah bersetuju untuk membuat pengecualian yuran dan caj pemindahan wang antara bank-bank domestik secara atas talian bagi semua pelanggan bank bagi tempoh enam bulan mulai dari 1 April hingga 1 Oktober.

    Ia adalah disebabkan ketika itu dunia berdepan keadaan ketidakpastian akibat penularan wabak COVID-19 pada awal tahun ini, dan sebagai langkah-langkah interim untuk mengurangkan kesan wabak COVID-19 kepada ekonomi Negara Brunei Darussalam terutama bebanan dan masalah kewangan yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggan bank.

    Dalam tempoh tersebut, AMBD dengan pihak BAB sentiasa memantau kesan wabak COVID-19 kepada ekonomi Negara Brunei Darussalam, khususnya kepada individu dan sektor-sektor perniagaan yang terkesan.

    Sehubungan dengan itu, bagi orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenainya, bolehlah menghubungi bank-bank atau AMBD di 2388388 atau info@ambd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda