Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Mahkamah Tinggi, di sini, memerintahkan sebuah syarikat tempatan selaku pengedar kereta buatan asing untuk membayar ganti rugi $315,757.40 kepada seorang wanita yang mengalami penderitaan dari segi emosi dan kewangan termasuk risiko kecederaan selepas membeli kereta dari syarikat itu.
Wanita itu, Wong Hee Sing @ Bibiana Wong (plaintif) membeli kereta import berkenaan daripada pengedar syarikat tempatan (defendan) pada November 2006 pada harga $33,387.
Kereta tersebut kemudian mengalami beberapa kerosakan dan beberapa masalah lain, sehingga pada tahun pertama sahaja, ia sudah mengalami masalah gear.
Dalam tahun kedua, tingkap kereta tidak dapat ditutup dengan betul dan pada Januari 2010 pula, kereta itu mengalami masalah ‘drive belt bolt’ yang mengeluarkan bunyi dari enjin kereta dan seterusnya membawa kepada kenderaan tersebut terus hilang kuasa.
Kereta itu sekali lagi mengalami masalah yang sama pada Mei 2010, yang mana mekanik yang memperbaiki masalah itu berjaya membetulkannya dengan menggantikan ‘drive belt bolt’ terkini daripada syarikat defendan.
Plaintif mengadu bahawa masalah itu adalah disebabkan oleh kecacatan pembuatan yang wujud dalam kereta yang mana defendan sengaja atau gagal memaklumkan perkara itu kepadanya.
Sehubungan itu, plaintif memfailkan saman terhadap defendan dan menuntut pembatalan, kerugian, ganti rugi dan kos.
Defendan, bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan yang mereka telah memperbaiki kerosakan itu dan menggantikannya dengan komponen yang lebih baik dan terkini.
Defendan sebaliknya membuat tuntutan balas terhadap plaintif kerana memfitnah, menyiarkan perkataan fitnah di dalam e-mel dan surat kepada syarikat induk luar negara dengan mengatakan syarikat defendan tidak bertanggungjawab dan tidak cekap dalam menjalankan perniagaan, tidak beretika, tamak dan tidak jujur, sombong dan tidak menghiraukan keselamatan pelanggannya.
Komen-komen itu turut dimuatkan oleh plaintif dalam laman sesawang pembuatan kereta asing tersebut.
Defendan turut membuat tuntutan balas bagi ganti rugi kepada plaintif kerana menjejaskan integriti, reputasi dan kos syarikat.
Plaintif membalas dengan mengatakan bahawa kandungan e-mel, surat dan komen dalam laman sesawang itu bukannya berbaur fitnah tetapi adalah perkara melibatkan kepentingan awam, perlindungan, mempertahankan kebenaran, komen dan pendapat yang jujur.
Plaintif telah mengalami kesulitan berulang kali disebabkan masalah kereta dan turut berbelanja banyak untuk membaikinya.
Ketua Hakim, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli selepas mendengar daripada kedua-dua pihak memutuskan bahawa defendan perlu membayar pembaikan dan tunda kereta yang ditanggung plaintif ekoran defendan gagal untuk melaksanakan penarikan balik unit kereta tersebut.
Defendan juga bertanggungjawab bagi ganti rugi kenikmatan dan kesulitan yang dialami oleh plaintif.
Ketua Hakim juga mendapati syarikat defendan bersikap cuai apabila gagal untuk mematuhi penarikan balik yang dibuat oleh pembekal kereta di negara asal dan juga kegagalan defendan untuk memastikan kenderaan yang dijual kepada pengguna bebas daripada kecacatan pembuatan.
“Plaintif sebagai pelanggan dan pengguna kereta tersebut, mempunyai kepentingan dan tanggungjawab untuk membuat kenyataan atau aduan terhadap syarikat defendan kerana telah menjual produk yang rosak dan memberi perkhidmatan yang buruk,” kata Ketua Hakim.
Ketua Hakim memerintahkan ganti rugi punitif dibayar kepada plaintif sebagai hukuman atas kecuaian syarikat defendan.
Plaintif diwakili Peguam Rudi Lee manakala syarikat defendan diwakili Peguam Linda Lee.