Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengehadan pemanasan global gagal dicapai dalam masa terdekat

    GENEVA, 23 OKT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, kelmarin mengakui usaha untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding tahap pra-industri kini jelas akan gagal dicapai dalam jangka masa terdekat.

    Menjelang sidang kemuncak iklim COP30 bulan depan di Brazil, Guterres memberi amaran bahawa peningkatan suhu melebihi 1.5 darjah Celsius akan membawa kesan ‘menghancurkan’ namun boleh dijangka.

    “Satu perkara sudah jelas, kita tidak akan dapat mengekang pemanasan global di bawah 1.5 darjah dalam beberapa tahun akan datang,” katanya di agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) di Geneva.

    “Kita pasti akan melebihi paras itu. Ini bermaksud kita akan melalui tempoh, sama ada panjang atau pendek, kuat atau lemah, di mana suhu melebihi 1.5 darjah dalam tahun-tahun mendatang.” Namun, Guterres menegaskan bahawa sekiranya para pemimpin dunia mula mengambil isu ini dengan serius dan bergerak ke arah sifar bersih pelepasan gas rumah hijau, sasaran 1.5 darjah Celsius “masih boleh dicapai sebelum akhir abad ini”, menurut para saintis yang beliau temui.

    Perjanjian Iklim Paris 2015 menetapkan matlamat untuk mengehadkan pemanasan global jauh di bawah 2 darjah Celsius berbanding tahap pra-industri, dan 1.5 darjah Celsius jika boleh dicapai. Bagaimanapun, Guterres berkata janji terbaru negara-negara untuk mengurangkan pelepasan karbon masih jauh daripada memenuhi sasaran 1.5°C.

    PBB kini sedang menilai pelan-pelan negara yang menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon menjelang 2035 serta butiran pelaksanaannya. Namun, banyak negara telah gagal menghantar komitmen mereka mengikut tarikh akhir tahun ini, dan laporan rasmi bagi janji yang telah diterima dijangka dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.

    Menurut Guterres, komitmen yang meliputi 70 peratus daripada jumlah pelepasan global menunjukkan penurunan pencemaran karbon sekitar 10 peratus menjelang 2035. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda