HANOI, 21 APRIL – Para pengeksport Vietnam kini memperkukuh strategi jangka pendek dan panjang bagi menghadapi potensi risiko tarif import baharu oleh Amerika Syarikat (AS), susulan keputusan Washington menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Pakar industri menegaskan tempoh penangguhan itu merupakan peluang penting bagi syarikat untuk menyusun semula operasi dan meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa.
Menurut Persatuan Produk Kayu dan Hasil Hutan Vietnam (Vietforest), eksport kayu ke AS tahun lalu mencecah AS$8.8 bilion, menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sektor itu.
Bagaimanapun, Vietforest memberi amaran bahawa ramai pengusaha masih bersikap berhati-hati dan menuntut langkah proaktif bagi mempertahankan bahagian pasaran.
Persatuan itu menjelaskan sekiranya syarikat pelaburan asing yang menyumbang hampir 70 peratus daripada nilai eksport menarik diri, keseluruhan industri bakal terjejas teruk.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Kacang Gajus Vietnam (VINACAS), Tran Van Hiep berkata pasaran AS kekal penting dengan nilai eksport mencecah sekitar AS$1.1 bilion pada 2024, bersamaan lebih 21 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport sektor itu.
Daripada lebih 60 negara pengimport kacang gajus Vietnam, AS dilihat sebagai pasaran berpotensi tinggi meskipun wujud ketidaktentuan tarif.
Hiep menyeru para pengeksport agar memanfaatkan tempoh itu sebaik mungkin. – Bernama
