Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengeluar Asia sambut baik penangguhan peraturan basmi hutan

    BANGKOK, 3 OKT – Pengeluar dari industri minyak sawit Malaysia hingga sektor kopi Vietnam hari ini menyambut baik keputusan Kesatuan Eropah (EU) untuk menangguhkan pelaksanaan peraturan anti-pembasmian hutan.

    Penangguhan selama setahun itu mencetuskan bantahan segera daripada kumpulan alam sekitar, namun undang-undang tersebut telah menerima bantahan besar daripada banyak kerajaan dan industri.

    Mereka mengkritik undang-undang itu, yang bertujuan menghalang import produk yang mendorong pembasmian hutan, kerana peraturannya yang mengelirukan dan keperluan dokumentasi yang kompleks, yang dikatakan akan membebankan petani kecil-kecilan secara khusus.

    Keputusan EU untuk menangguhkannya merupakan satu kelegaan, kata Trinh Duc Minh, Pengerusi Persatuan Kopi Buon Ma Thuot.

    “Pelanjutan tempoh adalah perlu dan munasabah,” beritahunya kepada AFP, walaupun beliau mendapati harga kopi meningkat ketika syarikat menyimpan stok sebelum tarikh akhir mungkin akan turun sekarang.

    Seorang lelaki berjalan di ladang kopi di Plei Bau Can di dataran tinggi tengah Vietnam, wilayah Gia Lai, pada 15 Mac 2023. – AFP

    Nguyen Xuan Loi, ketua pengeksport kopi Vietnam An Thai Group, juga mengalu-alukan berita tersebut sebagai ‘langkah positif’.

    “Secara realitinya, Vietnam telah mengurus isu pembasmian hutan dengan ketat,” katanya kepada AFP. “Tidak ada pelanggaran lagi.”

    Global Forest Watch menyatakan bahawa kehilangan hutan primer di Vietnam telah berkurang daripada kemuncak pada tahun 2016, tetapi negara itu masih kehilangan kira-kira 16,500 hektar pada tahun 2023, dengan pembasmian hutan yang dipacu komoditi sebagai penyebab utama.

    Import EU menyumbang 16 peratus kepada pembasmian hutan yang berkaitan dengan perdagangan global pada tahun 2017, menurut WWF.

    Apabila undang-undang itu diterima pada tahun 2023, ia dianggap sebagai pencapaian besar untuk melindungi alam dan iklim.

    Ia memerlukan pengeksport koko, soya, kayu, minyak sawit, getah, kopi dan barangan yang dihasilkan daripada produk tersebut untuk mengesahkan barang mereka tidak dihasilkan di tanah yang ditebang selepas Disember 2020. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda