BANGKOK, 26 DIS – Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, Hozon Auto, merancang untuk mengurangkan 400 pekerjaan di Thailand sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula perniagaannya, menurut sumber berita kelmarin.
Hozon Auto di Shanghai dilaporkan menghadapi masalah kecairan akibat penurunan jualan, yang memaksanya menghentikan pengeluaran di kilang Zhejiang dan mengurangkan jumlah pekerja.
Syarikat itu menghasilkan EV di bawah jenama Neta. Anak syarikatnya di Thailand, Neta Auto Thailand, menggunakan kilang Bangchan General Assembly untuk menghasilkan EV Neta di Thailand.
Sumber itu berkata, pengurangan 400 pekerja tersebut melibatkan pekerja di Neta Auto Thailand dan Bangchan General Assembly di kilang daerah Min Buri, Bangkok.
Neta Auto Thailand melaporkan penurunan jualan sebanyak 45.8 peratus berbanding tahun sebelumnya pada 11 bulan pertama tahun ini, dengan penghantaran 6,534 unit bagi model Neta V, Neta VII dan Neta X.
Menurut platform risikan perniagaan Data Creden, Neta Auto Thailand mengalami kerugian bersih sebanyak 1.8 bilion baht pada tahun 2023, berbanding keuntungan sebanyak 80.77 juta baht pada tahun sebelumnya. – ANN/The Nation
