Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengeluar kereta Jepun disiasat, gagal ujian keselamatan

    TOKYO, 10 JUN – Kementerian Pengangkutan Jepun hari ini telah menjalankan pemeriksaan di ibu pejabat Honda Motor Co di Tokyo selepas syarikat itu dan pengeluar kereta lain mengaku telah menjalankan ujian yang tidak wajar untuk pensijilan kenderaan yang diperlukan untuk pengeluaran besar-besaran, lapor media tempatan.

    Selepas pemeriksaan, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun akan memutuskan sama ada akan mengenakan hukuman pentadbiran untuk mencegah berulangnya kejadian serupa dan menentukan sama ada penarikan balik diperlukan dengan memeriksa sama ada kenderaan yang terjejas memenuhi piawaian keselamatan dan prestasi alam sekitar, lapor Kyodo News.

    Honda menyatakan bahawa ujian kenderaan untuk 22 model telah dijalankan secara tidak wajar, termasuk laporan data yang dipalsukan.

    Namun, tiada model terkini yang terjejas, menurut laporan tersebut.

    Honda menjadi syarikat keempat yang diperiksa di bawah undang-undang kenderaan jalan raya selepas Toyota Motor Corp, Yamaha Motor Co dan Suzuki Motor Corp, seminggu selepas lima pengeluar kereta mendedahkan bahawa ujian keselamatan tidak dijalankan mengikut spesifikasi kerajaan.

    Sebanyak 38 model yang dikeluarkan oleh lima pengeluar kereta terjejas. Enam daripada model yang terjejas yang dikeluarkan oleh Toyota, Mazda dan Yamaha Motor kini berada di pasaran dan kementerian Jepun telah mengarahkan penghantaran digantung, menurut laporan itu. – Xinhua

    Presiden Honda,Toshihiro Mibe bercakap semasa sidang akhbar di Tokyo. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda