BEIJING, 1 MAC – Pemulihan pengeluaran China menjadi lemah untuk bulan ketiga berturut-turut pada Februari ketika eksport dan tempahan baharu merosot, menurut dua tinjauan yang dikeluarkan hari ini.
Indeks pengurus pembelian bulanan yang dikeluarkan oleh majalah perniagaan terkenal, Caixin, merosot kepada 50.9 daripada 51.5 pada Januari berdasarkan skala 100 mata di mana nombor melebihi 50 menunjukkan peningkatan aktiviti.
Satu PMI berasingan yang dikeluarkan oleh agensi statistik China dan kumpulan industri rasmi, Persekutuan Logistik & Pembelian China, mencatat kemerosotan kepada 50.6 daripada 51.3.
Pengeluar menerima rangsangan daripada pembukaan semula ekonomi China selepas krisis koronavirus. Namun jualan telah terjejas oleh kebimbangan di kalangan pengguna China mengenai prospek ekonomi dan wabak penyakit baharu di luar negara yang telah mendorong kerajaan mengenakan semula sekatan perniagaan dan perjalanan.
Keputusan terbaharu menunjukkan ekonomi gagal menerima rangsangan daripada Beijing yang meminta orang awam supaya mengelak daripada mengadakan perjalanan pada cuti Tahun Baharu Cina. Beberapa peramal menjangka pengeluaran menerima faedah jika pekerja meneruskan pekerjaan dan bukannya mengambil cuti sehingga dua minggu.
Meskipun begitu, ‘momentum pengeluaran’ adalah baik,” kata ahli ekonomi Zhang Liqun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Logistik. – AP