Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengeluaran i-Lestari RM18.1 bilion, 5.16 juta ahli

    KUALA LUMPUR, 28 FEB – Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari, yang merupakan antara langkah awal yang diambil dalam situasi mencabar sepanjang 2020 ekoran pandemik COVID-19, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Dalam kenyataan semalam, dana persaraan itu menjelaskan ia bertindak balas dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 hingga 12 Mei 2020 dengan kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

    “KWSP merupakan antara dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahli ketika pandemik COVID-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli,” menurutnya.

    Ia menekankan langkah lain yang diambil termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuat kuasa April 2020 hingga Disember 2020.

    Bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP), yang dikhususkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta, jelasnya.

    “Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai mereka dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka,” menurut dana persaraan itu.

    KWSP menjelaskan untuk memastikan keselamatan pekerja dan ahli, KWSP bertindak proaktif bagi menyesuaikan operasi dengan realiti baharu melalui perkhidmatan berlandaskan ‘Kurangkan Sentuhan, Lebihkan Penjarakan’ dengan pengenalan Janji Temu Online (JTO). – Bernama

    Matahari terbit di belakang menara kembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia. RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli i-Lestari dalam situasi mencabar sepanjang 2020 ekoran pandemik COVID-19. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda