SAN FRANCISCO, 2 MEI – Apple menjangka kos tambahan sebanyak AS$$900 juta akibat tarif Amerika Syarikat (AS) pada suku semasa, walaupun impaknya masih terhad pada awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata kebanyakan iPhone yang dijual di AS dijangka akan dihasilkan di India, dalam usaha syarikat mengurangkan kebergantungan kepada China.
Menurutnya, produk Apple masih dikecualikan daripada tarif timbal balik paling ketat yang dikenakan pentadbiran AS, namun syarikat mengambil langkah berjaga-jaga ketika berdepan kemungkinan perubahan dasar.
“Kami tidak dapat menjangka sepenuhnya impak tarif kerana tidak pasti tindakan masa depan sebelum suku ini berakhir,” kata Cook dalam panggilan bersama pelabur.
Tambahnya, jika kadar tarif dan dasar semasa kekal sehingga hujung suku ini, kos operasi Apple dijangka meningkat sebanyak AS$$900 juta.
Beberapa produk utama seperti iPad, Mac, Apple Watch dan AirPods untuk pasaran AS juga akan dipindahkan pengeluarannya ke Vietnam, manakala China kekal sebagai lokasi utama untuk pasaran luar AS.
Walaupun iPhone buatan China masih menjadi pilihan bagi penghantaran ke AS, pengeluaran di India meningkat menjelang akhir suku kewangan lalu, menurut firma penyelidikan Canalys.
Penganalisis menyifatkan langkah Apple sebagai strategi mengurangkan risiko akibat ketegangan perdagangan berterusan antara AS dan China, terutamanya melibatkan tarif timbal balik sektor teknologi.
Dalam pada itu, Apple melaporkan hasil suku tahunan AS$$95.4 bilion, dengan keuntungan bersih AS$$24.8 bilion, sebahagian besarnya disumbang oleh jualan iPhone.
Pasaran Amerika dan Jepun mencatat pertumbuhan kukuh, manakala hasil jualan di China susut tiga peratus, meskipun insentif dan subsidi diperkenalkan untuk merangsang permintaan. – AFP
