Monday, February 3, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengeluaran padi perlu dipertingkat

    KUCHING, 3 OKT – Sarawak kini mencari cara untuk meningkatkan pengeluaran padi bagi menambah tahap sara diri beras, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

    Beliau berkata pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan diadakan hari ini bagi mencari penyelesaian terbaik dan rancangan jangka panjang untuk meningkatkan pengeluaran padi serta bekalan beras.

    Pada masa ini, kadar sara diri bagi beras negeri adalah kira-kira 36 peratus, katanya.

    “Ini bermakna kita perlu mengimport kira-kira 60 peratus beras untuk menampung keperluan kita dan kita mahu mengurangkan defisit itu,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

    Dr Rundi berkata harga beras import naik baru-baru ini kerana cabaran seperti cuaca buruk yang dihadapi oleh pembekal utama beras seperti India dan China.

    Gambar Unsplash

    “Negara-negara ini juga mempunyai populasi yang besar, jadi kita faham mengapa mereka cuba mengawal eksport dan menaikkan harga,” katanya.

    Beliau berkata pengeluaran padi di Sarawak semakin berkurangan sejak beberapa tahun lepas setelah petani memilih tanaman dan komoditi lain seperti kelapa sawit.

    “Kita tidak boleh mengawal petani beralih ke tanaman atau komoditi lain. Kita mesti menjelaskan kepada mereka bahawa terdapat banyak lagi tanaman bernilai tinggi yang lebih mudah untuk dijaga seperti cili. Ini juga akan membantu dalam aspek keterjaminan makanan kita,” tambahnya.

    Pada 30 September, dilaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang menilai tanah di Kota Belud, Sabah dan Sri Aman, Sarawak bagi menentukan kesesuaian untuk pelaksanaan projek penanaman padi.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu diharap dapat menambah baik sektor agromakanan tempatan dan mengukuhkan keterjaminan makanan negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda