MANILA, 8 OKT – Prestasi pengeluaran pembuatan di Filipina mengekalkan pertumbuhannya pada Ogos 2024, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, menurut Pihak Berkuasa Statistik Filipina (PSA) hari ini.
Berdasarkan keputusan awal Tinjauan Bersepadu Bulanan Industri Terpilih, PSA menyatakan bahawa nilai indeks pengeluaran (VaPI) dan volum indeks pengeluaran (VoPI) meningkat masing-masing sebanyak 1.8 peratus dan 2.8 peratus pada Ogos.
PSA menyatakan bahawa VaPI meningkat pada kadar tahunan yang perlahan iaitu 1.8 peratus pada Ogos berbanding peningkatan tahunan sebanyak 6.4 peratus pada Julai, menjadikan kadar pertumbuhan purata VaPI dari Januari hingga Ogos tahun ini kepada 0.8 peratus.
Pada Ogos 2023, pertumbuhan tahunan VaPI meningkat sebanyak 6.1 peratus.
PSA menyatakan bahawa kadar pertumbuhan tahunan VaPI yang lebih perlahan pada Ogosadalah disebabkan kadar pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan dalam bahagian industri pembuatan produk makanan, iaitu 1.0 peratus pada bulan tersebut berbanding peningkatan tahunan sebanyak 14 peratus pada Julai.
Sementara itu, VoPI bagi pembuatan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 2.8 peratus pada Ogos, lebih perlahan berbanding peningkatan tahunan sebanyak 6.8 peratus pada Julai, membawa kadar pertumbuhan purata VoPI bagi pembuatan dari Januari hingga Ogos 2024 kepada 1.7 peratus.
Pada Ogos 2023, VoPI bagi pembuatan mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 5.6 peratus.
PSA menyatakan bahawa penurunan kadar pertumbuhan tahunan VoPI bagi pembuatan pada Ogos didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pembuatan produk makanan, pembuatan komputer, elektronik dan produk optik, serta pembuatan kok dan produk petroleum yang ditapis. – Xinhua