Saturday, July 20, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Pengeluaran tapestri Senegal temui nafas baharu

    THIES, SENEGAL – Selepas memotong benang bulu biri-biri yang longgar dari alat tenunnya, penenun Senegal berusia 28 tahun, Seydina Oumar Cisse memutarkan gulungan untuk menyaksikan tapestri itu terbentuk secara beransur-ansur di hadapan matanya.

    Segala-galanya dari warna hingga reka bentuk adalah sama dengan karya asal yang dicipta oleh artis Senegal, Cheikh Diouf.

    “Ia sangat memuaskan,” kata Cisse, melihat hasil kerja enam bulan buat kali pertama.

    Cisse ialah seorang penenun di pengeluar seni hiasan Senegal di pusat bandar Thies, pengeluar utama barangan seni berkualiti tinggi yang terkemuka di benua Afrika.

    Ciptaan-ciptaan pertubuhan itu menghiasi dinding organisasi di seluruh dunia, dari ibu pejabat PBB di New York hingga Kesatuan Afrika di Addis Ababa, serta istana banyak ketua negara.

    Seorang artis melakar pelan untuk tapestri dinding baharu di Manufacture Senegalese des Arts di Thies pada 22 April lalu. – AFP
    Artis membersihkan sebidang tapestri dinding yang telah siap di Manufacture Senegalese des Arts di Thies baru-baru ini. – AFP
    Seorang artis menganyam sejadah di Manufacture Senegalese des Arts di Thies pada 22 April lalu. – AFP
    Pelancong berkumpul di sekeliling meja untuk mendengar cara seni tapestri dinding yang terkenal dibuat di Manufacture Senegalese des Arts di Thies. – AFP

    Pengeluaran tapestri di Thies merupakan dasar kebudayaan utama presiden pertama Senegal, penyair Leopold Sedar Senghor, dengan pengeluaran kini dihidupkan semula hasil daripada peluasan operasi dan perkongsian baharu, termasuk dengan gergasi fesyen Chanel.

    Ciptaan-ciptaan ini ‘menarik minat baharu, didorong secara tempatan oleh galeri bertaraf antarabangsa dan kebangkitan semula minat dalam tekstil dan tapestri’ di pasaran seni, kata Coline Desportes, seorang penyelidik di institut sejarah seni kebangsaan (INHA).

    SIMBIOSIS TEKNIK

    Senghor menubuhkan pengeluaran tapestri kebangsaan di Thies pada tahun 1966, enam tahun selepas Senegal memperoleh kemerdekaan daripada Perancis, dengan matlamat ‘mencipta seni baharu untuk negara baharu’.

    Walaupun teknik tenunan sebelum ini telah terbukti popular dalam reka bentuk pakaian Afrika, seni tapestri dinding kurang dikenali di Senegal.

    Dua tahun sebelum pengeluaran dijalankan, empat tukang telah pergi ke Perancis untuk menjalani latihan khusus, dengan bentuk seni baharu mewakili ‘simbiosis teknik yang diimport dari Perancis dan budaya tradisional’, menurut Senghor.

    Selama bertahun-tahun, legasi bekas presiden itu telah dikekalkan, tetapi tidak tanpa kesulitan.

    Negara tersebut mengurangkan sokongan selepas pemergian Senghor dan tapestri menjadi kurang popular, menyebabkan pengeluaran di Thies hampir lenyap sebelum tempahan meningkat semula pada tahun 2000an.

    Di bengkel-bengkel tenunan, yang terletak di dalam dinding putih dan hijau bekas berek tentera, para penenun harus bekerja dengan sangat berhati-hati dan tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan.

    Setiap orang dengan teliti mengikuti garisan kadbod pada alat tenun mereka, menggunakan bulu biri-biri dari Eropah dan kapas dari Thies untuk melakar reka bentuk mereka.

    KUASA BUDAYA

    Tidak jauh dari situ, sekumpulan kira-kira 30 pelajar sekolah Amerika Syarikat (AS) mendengar ceramah yang disampaikan oleh ketua bengkel kadbod, di mana model
    yang membimbing proses tenunan dihasilkan.

    Bengkel tersebut kini mengalu-alukan kedatangan pelancong dan kru filem ke premis itu, membuktikan komitmennya untuk mempelbagaikan operasi.

    Empat belas bilik tidak lama lagi akan disediakan untuk pelawat, serta kediaman artis, kata pengarah urusan Aloyse Diouf.

    “Kami mahu mengubah pengilang menjadi kuasa budaya, penghubung antara seni dan pelancongan,” tambahnya, walaupun komisen kerajaan tetap penting untuk mengekalkan pengeluaran.

    “Tapestri tidak semestinya dikaitkan dengan sejarah kita dan kekal bersifat elit – terutamanya pihak berkuasa yang membeli tapestri untuk menyumbang kepada pengaruh seni Senegal,” kata Diouf.

    “Pemilikan bentuk seni ini oleh orang Senegal adalah projek jangka panjang yang kami sedang bangunkan dengan menjemput sekolah-sekolah untuk melawat kilang.”

    Bengkel itu kini juga menghasilkan sejadah, batik dan seramik, yang harganya lebih berpatutan untuk warga Senegal berbanding tapestri dinding, yang berharga AS$2,400 setiap meter persegi. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua bas pelancong terbabas di lebuh raya, 15 cedera

    WELLINGTON, 19 JULAI – Dua bas yang membawa pelancong Cina terbabas dari jalan raya dalam keadaan cuaca buruk di Pulau Selatan New Zealand kelmarin,...