Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Pengeluaran ternakan udang setakat hujung bulan Februari lalu mencapai lebih 100 tan metrik dan jumlah berkenaan dijangka akan meningkat lagi melebihi pengeluaran pada tahun 2017 sebanyak 450 tan metrik.
“Keluaran sektor perikanan terutamanya udang seperti yang diketahui dalam tiga tahun lalu adalah berkurangan disebabkan terdapatnya penyakit pada pengeluaran udang blue shrimp pada masa itu, justeru untuk mencegah merebaknya penyakit berkenaan beberapa aktiviti pengeluaran telah dikurangkan dalam usaha penternak untuk membersihkan kolam penternakan.”
Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong semasa ditemui oleh pihak media ketika lawatan kerja ke Tapak Perusahaan Ternakan Udang di Sungai Penyatang, Telisai dan Stesen Pam Bekalan Air Laut Kampung Keramut di Daerah Tutong, pagi tadi.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menjelaskan bahawa pada masa kolam di Sungai Penyatang mula menternak udang jenis vannamei sebagai alternatif bagi udang blue shrimp yang akan dimulakan dalam setahun ataupun dua tahun yang akan datang, beberapa kajian di luar negara telah dilakukan bagi mendapatkan baka yang lebih baik dan mendapatkan benih serta memulakan semula penternakan blue shrimp.
“Dengan menggunakan benih udang vannamei, keluaran akan meningkat kerana udang jenis itu kurang sensitif terhadap penyakit. Penternak udang di negara ini juga akan membesarkan kapasiti kolam ternakan dan akan menyediakan sebanyak 200 peluang pekerjaan yang baharu,” jelasnya.


Sementara itu Pengarah Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd, Richard Chuang Hsi Shan ketika ditemui turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana membantu dan menyokong syarikat berkenaan dalam menyediakan kemudahan tempat dan lokasi di samping penyediaan infrastruktur lainnya seperti kemudahan air dan tanah yang mencukupi.
Richard Chuang Hsi Shan juga menjelaskan bahawa permintaan terhadap udang keluaran syarikatnya begitu tinggi, di mana pengeksportan udang syarikat berkenaan telah berjaya memecah pasaran antarabangsa seperti di Australia, China, Singapura, Thailand, Taiwan, Perancis, Amerika Syarikat di samping negara-negara di Timur Tengah dan sebagainya.
Kira-kira 85 peratus daripada hasil pengeluaran udang di syarikat berkenaan akan dieksport ke luar negara dan selebihnya bagi penggunaan pasaran dalam negara. Setakat pada tahun 2020 ini Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd bakal memiliki sejumlah 138 buah kolam bagi udang putih dan 62 buah kolam lagi bagi blue shrimp.
Manakala itu, Pemangku Pengarah Perikanan, Dayang Noraini binti Haji Anggas ketika ditemui turut memberitahu bahawa Jabatan Perikanan juga telah menyediakan ste-sen pam air laut di Kampung Keramut bagi memudahkan operasi perusahaan ternakan udang laut di kampung tersebut.
Sebanyak lima buah syarikat dan pengusaha ternakan udang di sekitar kawasan berkenaan telah mendapat bantuan bekalan air laut secara percuma mengikut keperluan dan permintaan pengusaha ternakan udang di kawasan berkenaan, tambah Dayang Noraini.