WASHINGTON, 1 SEPT – Pengembangan BRICS yang diumumkan baru-baru ini akan memperkukuh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum Plus (OPEC+) dan memberi manfaat kepada anggota BRICS dalam rundingan di peringkat global, kata pakar ekonomi terkenal Amerika Syarikat, Jeffrey Sachs.
Sachs yang juga Presiden Sustainable Development Solutions Network Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata negara anggota BRICS akan memainkan peranan utama ketika dunia kini melalui peralihan tenaga kepada tenaga sifar karbon, termasuk tenaga boleh baharu, hidrogen hijau dan nuklear.
“Pelaburan mineral akan menjadi sangat penting dalam transformasi industri dan tenaga akan datang dengan negara anggota akan memainkan peranan utama dalam pengeluaran global dan perdagangan mineral strategik,” katanya lapor Sputnik.
Pada sidang kemuncaknya baru-baru ini di Johannesburg, kumpulan BRICS yang terdiri daripda ekonomi sedang pesat membangun – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, mengumumkan bahawa keanggotaanya telah meningkat lebih daripada dua kali ganda.
Argentina, Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi telah dijemput untuk menyertai BRICS berkuat kuasa 1 Januari 2024.
Menurut kumpulan itu, tahun ini, BRICS mengatasi sumbangan KDNK global negara G7 dan menyumbang hampir satu pertiga daripada aktiviti ekonomi dunia. – Bernama
