Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengembara terpaksa beratur lebih sejam di terminal feri Labuan

    LABUAN, 28 MEI – Pengembara yang ingin keluar dari pulau bebas cukai itu terpaksa beratur panjang lebih sejam di terminal feri keluar masuk (ro-ro) Labuan sejak Jumaat lepas, dan keadaan sesak itu dijangka berlarutan hingga hujung minggu depan.

    Kebanyakan mereka menyalahkan barisan yang bercampur antara pengembara Sabah dan Semenanjung di kaunter imigresen dan petugas tidak mencukupi meskipun peningkatan jumlah pengguna terminal sudah dijangka, sebagai punca kesesakan.

    Pengendali perkhidmatan feri, Labuan Mainland Link Sdn Bhd memohon maaf kepada pengembara yang terpaksa menuggu lama untuk masuk dan keluar feri berikutan jumlah pengguna bertambah sempena cuti sekolah serta cuti Pesta Kaamatan untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 30 dan 31 Mei.

    Pemeriksaan imigresen dijalankan di kedua-dua pintu keluar iaitu terminal feri Labuan dan Menumbok.

    Syarikat pengurusan tiket di terminal feri berkenaan, Labuan Point Sdn Bhd, mengesahkan lebih 10,000 tiket bagi kenderaan dan penumpang habis dijual dua minggu menjelang gabungan cuti sekolah (26-3 Jun) dan Pesta Kaamatan (30-31 Mei) itu.

    Ketua Polis Labuan, Supt Ahmad Jawilah telah memberi amaran berlakunya kesesakan di jalan raya, manakala lonjakan permintaan di Lapangan Terbang Labuan juga menambah ‘sakit kepala’ kepada mereka yang ingin bercuti.

    Suasana sibuk sekitar terminal feri Labuan itu berlaku sejak Jumaat lepas, bertepatan dengan bermulanya cuti panjang.

    Labuan Mainland Link mengendalikan empat feri ro-ro iaitu Putrajaya1, Goodwill Star, Kimanis 1 dan Joy Star. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda