Ulasan buku oleh Raz AS
NOVEL berjudul The Strangers karya Margaret Peterson Haddix diceritakan melalui perspektif berlainan daripada watak-wataknya Chess, Emma dan Finn Greystone.
Novel pertama daripada siri Greystone Secrets ini adalah kisah mengenai pengembaraan dalam mencari jawapan mengenai identiti, keluarga dan rumah dihasilkan oleh pakar genre saspens untuk golongan pembaca peringkat menengah.
Apakah yang menjadikan seseorang itu sebagai diri mereka? Adik-beradik Greystone menyangka bahawa mereka tahu akan jawapannya.
Chess sebagai seorang abang sentiasa memenuhi tanggungjawabnya untuk melindungi adik-adiknya yang lain, Emma pula suka akan bidang matematik dan Finn sangat nakal dan suka dimanjai.
Mereka tinggal sebagai sebuah keluarga yang bahagia, hanya ketiga-tiga mereka bersama ibu mereka. Namun segala-galanya berubah apabila perkhabaran tentang tiga orang kanak-kanak yang diculik sampai ke pengetahuan keluarga tersebut.
Apa yang anehnya, mangsa-mangsa culik tersebut mempunyai nama, umur dan tarikh lahir yang sama dengan adik-beradik Greystone tersebut.
Kebetulan yang memeranjatkan itu membuatkan mereka tertanya-tanya, siapakah kanak-kanak yang hilang itu? Belum sempat mereka bertanya kepada ibu mereka mengenainya, ibu mereka telah pergi atas urusan kerja yang mereka tidak ketahui.
Walau bagaimanapun, petunjuk-petunjuk yang ditinggalkan membawa mereka kepada kod-kod yang kompleks, bilik-bilik tersembunyi dan rahsia berbahaya yang akan menterbalikkan dunia mereka.