KUALA NERUS, 12 DIS – Terengganu FC (TFC) mahu anak buahnya bangkit daripada kekecewaan selepas tewas di Piala Malaysia dan fokus kepada merebut peluang untuk layak ke peringkat separuh akhir saingan Piala Konfederasi Asia (AFC), yang masih terbuka.
Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, mengakui moral pemainnya ketika ini agak terjejas selepas gagal membawa pulang Piala Malaysia apabila tewas 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT), pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat lepas.
Beliau berkata situasi tersebut sedikit sebanyak meresahkan dirinya, memandangkan pasukannya itu bakal berdepan kelab Indonesia Bali United FC, bagi perlawanan terakhir mereka pada saingan Kumpulan G Piala AFC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
“Saya sedikit risau kerana selepas perlawanan akhit Piala Malaysia, pemain agak sedih. Mungkin tidak secara fikizal, tetapi secara emosional disebabkan kami tewas selepas lakukan yang terbaik pada perlawanan itu.
“Saya jangkakan perlawanan yang sukar dari Bali United FC, seperti pada perlawanan pertama. Bagaimanapun, saya juga percaya kepada pasukan saya. Saya harap mereka cukup kuat untuk bermain esok,” katanya pada sidang media perlawanan menentang Bali United FC di SSMZA, hari ini. – Bernama


