Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pengerusi antirasuah disiasat terima suapan

    JAKARTA, 23 NOV – Indonesia telah menamakan pengerusi suruhanjaya antirasuah sebagai suspek dalam kes rasuah, yang merupakan kali pertama dia dituduh atas jenayah itu, kata polis.

    Rasuah kekal berleluasa di negara kepulauan itu, yang menduduki tempat ke-110 daripada 180 negara dalam indeks persepsi rasuah terkini Transparency International.

    Polis menamakan Ketua Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) Indonesia, Firli Bahuri sebagai suspek, kelmarin, atas dakwaan peras ugut dan menerima hadiah atau ganjaran dalam urusan sah dengan Kementerian Pertanian dari 2020 hingga 2023.

    Ade Safri Simanjuntak, pengarah bagi jenayah khas polis Jakarta, memberitahu pemberita bahawa Bahuri akan disoal siasat ‘sebagai ketua KPK atas kapasitinya sebagai suspek dalam dakwaan jenayah rasuah’.

    Bulan lalu, bekas menteri pertanian Indonesia, Syahrul Yasin Limpo ditahan selepas beberapa siri tuduhan, termasuk menggelapkan dana awam lebih AS$800,000.

    Gambar Canva

    Dakwaan terhadap Bahuri dikaitkan dengan kes Limpo. Ketua KPK itu sudah beberapa kali menafikan tuduhan tersebut.

    Bahuri bekas ketua polis di wilayah Sumatera Selatan dan Nusa Tenggara Barat yang menjadi ketua KPK pada 2019 belum ditahan dan polis tidak menyatakan sama ada mereka berhasrat untuk menahannya.

    Sebagai sebahagian daripada siasatan, polis menggeledah dua hartanah, menemu bual lebih 90 orang dan merampas dokumen berkaitan lebih 7.4 bilion rupiah Indonesia (AS$478,000) dalam bentuk dana, kata polis.

    Dia boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

    Timbalan pesuruhjaya badan pencegah rasuah itu menegaskan kerja agensi itu tidak terjejas dengan dakwaan itu.

    “Kepimpinan KPK. kekal padu dan komited untuk memastikan KPK akan terus menjalankan tugasnya seperti yang diamanatkan oleh undang-undang KPK,” kata Alexander Marwata kepada pemberita hari ini, sambil menambah Bahuri belum dipecat daripada jawatannya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...