Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengesahan konvensyen buruh utamakan pekerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Pengesahan atau ratifikasi Konvensyen International Labour Organization (ILO) 187 adalah selaras dengan Wawasan 2035 di mana dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengesahan itu secara langsung menyokong tonggak utama Wawasan 2035.

    Penekanan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Haji Muhsin bin Haji Ahmad dalam ucapan pembukaan di Bengkel Kerjasama antara SHENA dan ILO untuk memperkukuhkan piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Hotel Radisson, hari ini.

    Beliau menyatakan, “Pertama, matlamat untuk mencapai kualiti hidup yang tinggi bagi semua rakyat melalui penyediaan persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Kedua, memupuk ekonomi yang mampan dan berdaya tahan dengan meningkatkan produktiviti serta mengurangkan beban ekonomi akibat kemalangan dan penyakit di tempat kerja. Akhir sekali, pengesahan ini menyokong pembangunan masyarakat yang adil dan saksama dengan melindungi serta kesejahteraan para pekerja.”

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa kerjasama membina tempat kerja yang sihat dan selamat dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta reputasi Brunei Darussalam dalam pembangunan dan pertumbuhan sambil menunjukkan komitmen sosial melindungi kesejahteraan asas pekerja sebagai satu keutamaan.

    Haji Muhsin seterusnya menyatakan dalam merealisasikan pelaksanaan teratur Konvensyen ILO 187, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan industri yang relevan perlu bekerjasama untuk menjana strategi komprehensif OSH, melabur dalam latihan dan pembangunan kapasiti serta mempromosi kolaborasi antara rakan kongsi tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja.

    Beliau mengakui kemungkinan terdapat cabaran-cabaran yang berkaitan dengan penghayatan standard konvensyen seperti sumber yang terhad, kurang kesedaran dan kefahaman mengenai keperluan konvensyen, penguatkuasaan peraturan yang efektif dan undang-undang OSH khususnya dalam sektor yang kurang dikawal selia seperti pekerjaan informal dan PMKS serta sikap budaya yang tidak sesuai yang lebih mengutamakan keuntungan daripada keselamatan kerja.

    Namun begitu, beliau menegaskan bahawa dengan bekerjasama dan berusaha untuk menyelesaikan halangan itu bersama, prinsip Konvensyen ILO 187 dapat dilaksanakan secara efektif yang membawa kepada tempat kerja yang lebih produktif, sihat dan selamat.

    Haji Muhsin menyampaikan ucapan pembukaan bengkel berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda