Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengesanan awal penting cegah kanser payudara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Kanser payudara di negara ini telah menimbulkan cabaran kesihatan yang ketara, di mana kajian tempatan menunjukkan lebih 50 peratus kes yang didiagnosis adalah di peringkat 3 dan 4.

    Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee selaku Pengerusi Bulan Kesedaran Kanser Payudara semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada forum bertajuk, A Conversation to Empower Women on Women’s Cancer: Time to Take Action Today, hari ini di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Pantai PJSC.

    Datin Dr Hajah Noraslinah seterusnya menambah, di peringkat global kanser ini kekal sebagai kebimbangan kesihatan yang meluas dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 2.3 juta kes kanser payudara telah didiagnosis pada tahun 2020 sahaja, dan menjadikan ia sebagai kanser yang paling lazim dalam kalangan
    wanita.

    “Angka ini bukan statistik semata-mata, ia mewakili wajah dan kehidupan ibu, kakak dan rakan-rakan kita,” jelasnya.

    Datin Dr Hajah Noraslinah semasa me-nyampaikan ucapan alu-aluan pada forum yang diadakan di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, kelmarin. – Gambar Muiz Matdani
    Barisan ahli panel semasa forum berkenaan. – Gambar Muiz Matdani

    Forum telah dihadiri oleh 150 orang wanita terdiri daripada pegawai kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil syarikat korporat dan guru dari pelbagai institusi pengajian di sekitar Daerah Brunei dan Muara.

    Beliau seterusnya, walaupun statistik mungkin berbeza tapi data tahunan kebelakangan telah menunjukkan yang kanser payudara merupakan kanser utama yang menjejaskan wanita di negara ini.

    Manakala kanser kedua payudara bagi wanita merupakan kanser ginekologi terutama kanser serviks dan juga rahim.

    Beliau turut mengingatkan yang mana pengesanan dan kesedaran awal adalah penting dalam memerangi bukan sahaja kanser payudara, tetapi semua jenis kanser dan pengetahuan adalah cara berkesan selain berharap acara ini akan dapat membantu untuk melakukan perkara tersebut.

    Ahli panel forum terdiri daripada Konsultan Pakar Onkologi, Dr Haji Muhd Syafiq bin
    Abdullah; Ketua di Jabatan Psikiatri RIPAS, Pengiran Dr Fariza binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dan Pegawai Perubatan Kanan dari Pusat Kanser Brunei (TBCC) Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser, Dr Nur Sadrina binti Haji Marsidi.

    Manakala Pakar Jururawat dari Jabatan Onkologi Perubatan, Hajah Surenawati binti Haji Awang Damit yang juga merupakan mangsa kanser dan Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim, Dayang Masjuwita binti Haji Ab Hamid dan Jessie Pang yang mana masing-masing adalah mangsa kanser.

    Forum anjuran TBCC PJSC itu menandakan permulaan Bulan Kesedaran Kanser Payudara tahunan.

    Ia juga merupakan salah satu aktiviti kempen yang dianjurkan di bawah inisiatif yang bertujuan untuk mendekati dan terlibat secara langsung dalam perbualan dengan masyarakat tentang kanser payudara dan kanser wanita lain sambil menekankan kepentingan pengesanan dan saringan awal.

    Majlis ini adalah sebahagian daripada misi TBCC untuk menyediakan pengetahuan seterusnya untuk memberikan inspirasi dan galakkan kepada wanita untuk menjalani pemeriksaan rutin dan memberikan sokongan kepada mereka yang menghadapi cabaran didiagnosis dan juga rawatan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda